Ledakan AI pacu ekonomi Malaysia

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Ledakan kecerdasan buatan (AI) dijangka terus menyokong momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia, khususnya menerusi peningkatan permintaan terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dr Mikhail: kedudukan Malaysia sebagai pengeksport produk elektronik membolehkan negara meraih manfaat daripada ledakan AI global.
  • Beliau jangka momentum AI berterusan selagi permintaan kekal kukuh.
  • KDNK meningkat 6.0% suku kedua 2026; pertumbuhan separuh pertama 5.7%; angka rasmi suku ketiga dikeluarkan 16 Oktober.

Penyelidik Bersekutu Khazanah Research Institute (KRI), Dr. Mikhail Rosli, berkata kedudukan Malaysia sebagai pengeksport utama produk elektronik membolehkan negara meraih manfaat daripada perkembangan pesat teknologi AI global.

Beliau menjangkakan momentum itu berterusan selagi permintaan berkaitan AI kekal kukuh.

“Faktor utama yang merancakkan KDNK Malaysia adalah faktor AI contohnya. Malaysia merupakan tempat di mana elektronik banyak dieksport. Jadi Malaysia sebagai pengeksport elektronik menerima habuan daripada ledakan AI.

“Jadi jangkaan saya juga pada masa depan kita masih ada ledakan AI ini, kita juga akan melihat yang ekonomi Malaysia masih merancak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Biz Malaysia di sini, hari ini.

Malaysia mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.0 peratus pada suku kedua 2026, meningkat daripada 5.4 peratus pada suku pertama, manakala pertumbuhan bagi separuh pertama tahun ini berada pada 5.7 peratus.

Dr. Mikhail berkata pertumbuhan KDNK yang kukuh tidak semestinya dapat diterjemahkan serta-merta kepada kedudukan isi rumah, kerana kesannya memerlukan tempoh tertentu sebelum dapat dilihat dengan lebih jelas menerusi data.

“Walaupun ekonomi kian merancak dengan enam peratus, ia tidak semestinya diterjemahkan kepada isi rumah begitu sahaja. Kita perlu melihat sama ada terdapat tempoh masa sebelum kesannya dapat dilihat.

“Kita masih belum mengetahui sama ada isi rumah mendapat manfaat daripada perkembangan tersebut dan masih menunggu data untuk penyelidikan,” jelasnya.

Angka rasmi KDNK Malaysia bagi suku ketiga 2026 dijadualkan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 16 Oktober ini

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.