Gaji minimum RM2,000: Syarikat besar digalak semak keseluruhan struktur gaji

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican

KUALA LUMPUR, 12 Oktober -Pelaksanaan gaji minimum RM2,000 mulai Jun 2027 diyakini dapat mendorong majikan menyemak keseluruhan struktur gaji pekerja, bukan hanya meningkatkan pendapatan golongan bergaji rendah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan menggesa syarikat besar menyemak keseluruhan struktur gaji, bukan hanya menaikkan gaji pekerja bergaji rendah.
  • Pendekatan bertujuan memastikan kenaikan gaji mengambil kira semua peringkat pendapatan untuk elak jurang gaji menjadi terlalu kecil.
  • PMKS diberikan tempoh lebih panjang untuk menyesuaikan operasi dan melaksanakan kadar gaji minimum baharu.
  • Kadar gaji minimum dipersetujui di Majlis Perundingan Gaji Negara melibatkan wakil pekerja dan majikan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan peningkatan gaji turut mengambil kira pekerja di peringkat pendapatan lain bagi mengelakkan jurang gaji antara kumpulan pekerja menjadi terlalu kecil.

Menurut beliau, walaupun kadar inflasi negara berada pada paras terkawal, cabaran kos sara hidup masih berkait rapat dengan tahap pendapatan yang tidak meningkat sejajar dengan kenaikan kos sara hidup.

“Kita mulakan dengan syarikat besar dan pelaksanaan gaji minimum RM2,000 pada Jun tahun depan juga bertujuan memberi masa kepada syarikat besar untuk menyemak keseluruhan struktur gaji, bukan sahaja menaikkan gaji pekerja berpendapatan paling rendah, tetapi memastikan gaji pekerja di peringkat lain turut diberikan perhatian,” katanya pada program Debat Pasca Belanjawan 2027 anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia, di ibu negara.

Dalam pada itu, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan diberikan tempoh lebih panjang untuk melaksanakan kadar gaji minimum baharu.

Beliau berkata, pertimbangan itu mengambil kira keperluan PMKS menyesuaikan operasi perniagaan, khususnya susulan kesan konflik di Asia Barat.

Kadar gaji minimum itu juga telah dipersetujui di peringkat Majlis Perundingan Gaji Negara yang melibatkan wakil pekerja dan majikan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.