Moto3: Hakim Danish perlu perkukuh taktikal, mental – Pengurus

Hakim Danish Ramli/ Facebook: ZK Racing

KUALA LUMPUR, 12 Oktober- Pelumba muda Moto3 negara, Muhammad Hakim Danish Ramli perlu memperkukuh kematangan taktikal dan ketahanan mental bagi meningkatkan konsistensi prestasinya dalam Kejuaraan Dunia Moto3, kata Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bangkit dari petak ke-26 untuk mencabar kelompok 10 pada GP Indonesia, menunjukkan kelajuan bersaing dengan kelompok hadapan.
  • Pengurusan emosi dan tekanan persaingan masih menjadi cabaran selepas prestasi tidak konsisten sejak pertengahan musim.
  • Terjatuh pada pusingan terakhir ketika cuba memintas, kehilangan cengkaman tayar hadapan dan menerima penalti masa tiga saat.
  • Berjaya mengutip dua mata dan kini fokus ke GP Australia untuk memperbaiki prestasi serta meneruskan kutipan mata.

Menurut Zulfahmi, keupayaan Hakim Danish bangkit dari petak ke-26 untuk mencabar kelompok 10 terbaik pada Grand Prix (GP) Indonesia di Litar Antarabangsa Pertamina Mandalika pada Ahad membuktikan pelumba rookie itu memiliki kelajuan untuk bersaing dengan kelompok hadapan.

Bagaimanapun, beliau berkata pengurusan emosi dan tekanan persaingan masih menjadi cabaran buat pelumba berusia 19 tahun itu terutama susulan ketidaktentuan prestasi sejak pertengahan musim.

“Dari sudut kematangan taktikal dan pengurusan emosi, saya mengakui terdapat cabaran, terutama ketidaktentuan prestasi sejak pertengahan musim. Jangkaan tinggi selepas pencapaian pada awal musim turut memberikan tekanan psikologi kepadanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulfahmi berkata persaingan di peringkat dunia menuntut ketepatan tinggi kerana perbezaan masa sekecil satu persepuluh saat boleh menentukan kedudukan pelumba.

“Dalam sukan permotoran bertaraf dunia, perbezaan sekecil satu persepuluh saat dalam perlumbaan boleh menjadi penentu kemenangan. Keadaan itu menuntut ketahanan mental yang tinggi,” katanya.

Dalam perlumbaan GP Indonesia itu, Hakim Danish berada dalam kelompok 10 terbaik menjelang penghujung saingan sebelum terjatuh pada pusingan terakhir ketika cuba memintas Joel Kelso selepas kehilangan cengkaman tayar hadapan.

Beliau berjaya meneruskan perlumbaan, namun penalti masa tiga saat menyaksikannya diklasifikasikan di tempat ke-14, sekali gus meraih dua mata.

Keputusan itu menyaksikan Hakim Danish mengumpul 107 mata untuk menduduki tangga kesembilan keseluruhan.

Beliau kini mengalihkan tumpuan kepada GP Australia yang dijadual berlangsung dari 22 hingga 25 Oktober ini bagi memperbaiki prestasi dan meneruskan kutipan mata dalam baki saingan musim ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.