Moto3: Hakim Danish tekad tebus kekecewaan di Australia

Hakim Danish Ramli/ Facebook: ZK Racing

KUALA LUMPUR, 12 Oktober- Kebangkitan pelumba muda Moto3 negara, Muhammad Hakim Danish Ramli dari petak ke-26 untuk menembusi kelompok 10 terbaik pada Grand Prix (GP) Indonesia membuktikan semangat juang dan keupayaannya bersaing dengan pelumba terbaik dunia dalam Kejuaraan Dunia Moto3 pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Terjatuh pada pusingan terakhir akibat kehilangan cengkaman tayar hadapan ketika cuba memintas Joel Kelso, beliau meminta maaf kepada Kelso.
  • Teruskan perlumbaan dan tiba di tempat ke-14 selepas penalti masa tiga saat, mengutip dua mata dan berada di tangga kesembilan keseluruhan.
  • Belajar dengan memerhati pelumba di hadapan untuk perbaiki bahagian lemah, fokus kini pada GP Australia untuk tebus kekecewaan.

Pelumba berusia 19 tahun itu mempamerkan aksi kompetitif di Litar Antarabangsa Pertamina Mandalika apabila memperbaiki kedudukan secara berperingkat sebelum terjatuh pada pusingan terakhir ketika cuba memintas Joel Kelso.

Hakim Danish bagaimanapun bangkit meneruskan perlumbaan dan melintasi garisan penamat di tempat ke-14 selepas dikenakan penalti masa tiga saat.

Beliau berkata permulaan yang baik membantunya membina rentak perlumbaan, selain memerhatikan pelumba di hadapan untuk memperbaiki kelajuan di bahagian litar yang menjadi kelemahannya.

“Sepanjang perlumbaan, saya mengawal tunggangan dan cuba mengejar kelompok di hadapan. Ada beberapa bahagian litar yang saya sedikit bergelut dan ada bahagian yang saya kuat.

“Di bahagian yang saya kurang kuat, saya cuba memerhatikan pelumba di hadapan dan memperbaiki kelajuan saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas insiden pada pusingan terakhir, Hakim Danish berkata kehilangan cengkaman tayar hadapan ketika cuba memintas Kelso menyebabkan beliau terjatuh.

Beliau turut memohon maaf kepada Kelso berhubung insiden itu dan kini memberi tumpuan kepada perlumbaan seterusnya di GP Australia.

Keputusan di Indonesia menyaksikan Hakim Danish mengutip dua mata, sekali gus mengumpul 107 mata untuk menduduki tangga kesembilan dalam klasifikasi keseluruhan Kejuaraan Dunia Moto3.

Hakim Danish dijadual kembali beraksi pada GP Australia dari 22 hingga 25 Oktober ini dengan misi memperbaiki prestasi dan meneruskan kutipan mata dalam baki saingan musim ini.

Kebangkitan dari petak belakang di Indonesia menjadi pengalaman penting buat pelumba muda itu untuk terus memperkukuh prestasi dan memburu keputusan lebih baik pada perlumbaan akan datang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.