Perlawanan Al Nassr tertangguh susulan ancaman peluru berpandu ke Riyadh

Foto AFP

RIYADH, 13 Oktober – Perlawanan Liga Juara Asia membabitkan kelab Al Nassr yang dibarisi Cristiano Ronaldo menentang Neftchi Fergana tertangguh selama sejam pada Isnin selepas pakatan tentera diketuai Arab Saudi memaklumkan pihaknya memintas peluru berpandu yang dilancarkan kumpulan Houthi ke arah Riyadh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Arab Saudi berdepan siri serangan oleh kumpulan berkenaan terhadap kemudahan minyak, kapal tangki dan hab pengangkutan, termasuk serangan maut.
  • Jumlah penonton di Stadium Al-Awal Park kelihatan sedikit; stadium mengumumkan keadaan selamat dan minta penonton kekal di tempat duduk.
  • Cristiano Ronaldo menjaringkan gol ke-981 kariernya ketika Al Nassr menang 3-1.

Arab Saudi kebelakangan ini berdepan beberapa siri serangan oleh kumpulan berkenaan, termasuk serangan terhadap kemudahan minyak, kapal tangki dan hab pengangkutan, selain beberapa serangan maut di lapangan terbang antarabangsa Riyadh.

Jumlah penonton yang hadir di Stadium Al-Awal Park kelihatan sedikit bagi perlawanan yang dijadualkan bermula pada 9.15 malam waktu tempatan.

Pengumuman stadium memaklumkan keadaan selamat dan perlawanan akan diteruskan, selain meminta penonton kekal di tempat duduk masing-masing.

Bagaimanapun, stesen televisyen yang menyiarkan perlawanan itu mengumumkan penangguhan selama sejam.

Sebelum itu, wartawan AFP melaporkan terdengar beberapa letupan di Riyadh.

Pada masa sama, penduduk Riyadh menerima amaran melalui telefon yang menyatakan: “Kawasan ini terdedah kepada ancaman udara musuh. Sila bertenang dan kekal di rumah atau tempat selamat, jauh daripada tingkap dan pintu, serta terus mematuhi arahan pertahanan awam.”

Pakatan tentera itu kemudian mengumumkan menerusi satu kenyataan di platform X bahawa pihaknya berjaya “memintas dan memusnahkan” peluru berpandu balistik yang dilancarkan Houthi.

Insiden itu bagaimanapun tidak menjejaskan tumpuan Ronaldo apabila beliau menjaringkan gol ke-981 sepanjang kariernya sejurus sebelum tamat separuh masa pertama, ketika Al Nassr meraih kemenangan 3-1. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.