Coventry bangkit cipta sejarah, belasah Newcastle 4-1

Foto AFP

COVENTRY, 13 Oktober – Coventry City mencuri tumpuan apabila menewaskan Newcastle United 4-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, sekali gus keluar daripada zon penyingkiran selepas mencatat kemenangan kedua berturut-turut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rudoni buka jaringan melalui penalti, pecah kebuntuan dan beri momentum awal kepada Coventry.
  • Cherif gandakan kelebihan awal babak kedua; Sven Botman sempat merapatkan kembali buat Newcastle.
  • Simms dan Mfuni jaring gol lewat untuk mengesahkan kemenangan; Coventry raih kemenangan pertama ke atas Newcastle sejak 1999.

Skuad kendalian Frank Lampard itu turut mencipta rekod tersendiri apabila menjadi kelab pertama dalam tempoh 127 tahun yang meraih dua kemenangan berturut-turut dalam liga utama England selepas tewas dalam empat perlawanan pembukaan tanpa menjaringkan sebarang gol.

Jack Rudoni membuka jaringan menerusi sepakan penalti pada minit keenam, sebelum penyerang Guinea, Sidiki Cherif, menggandakan kelebihan tiga minit selepas babak kedua bermula.

Sven Botman merapatkan kedudukan buat Newcastle pada minit ke-70.

Namun, Ellis Simms dan Stephen Mfuni masing-masing menjaringkan gol pada penghujung perlawanan bagi memastikan Coventry meraih kemenangan, sekali gus melonjak dari tangga ke-19 ke kedudukan ke-14 liga.

Kemenangan itu merupakan yang pertama buat Coventry ke atas Newcastle sejak 1999, sekali gus mengukuhkan usaha mereka mengelak penyingkiran pada musim pertama kembali beraksi dalam Liga Perdana Inggeris sejak 2001.

Newcastle pula terlepas peluang untuk melonjak ke tangga keempat liga selepas kekalahan kedua dalam enam perlawanan musim ini.

Pasukan itu dihukum susulan kegagalan menyudahkan beberapa peluang pada babak pertama.

Penjaga gol Newcastle, Lukas Hornicek, menghadiahkan penalti kepada Coventry selepas menjatuhkan Cherif ketika cuba mengawal keadaan.

Pertahanan Coventry, Bobby Thomas, turut memainkan peranan penting apabila dua kali menghalang percubaan Newcastle di garisan gol.

Simms memanfaatkan kesilapan pemain tengah Newcastle, Joelinton, untuk menjaringkan gol ketiga Coventry pada minit ke-81, sebelum Mfuni melengkapkan kemenangan menerusi rembatan jarak jauh empat minit sebelum tamat perlawanan.

Coventry akan memburu kemenangan ketiga berturut-turut apabila bertandang ke Tottenham Hotspur pada 19 Oktober. – AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.