Deepavali wadah perkukuh semangat kebersamaan – DS Fadillah

Hantaran FB Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR, 8 November – Sambutan Deepavali perlu terus menjadi wadah memperkukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kepelbagaian kaum dan agama kekuatan Malaysia; perlu dipelihara melalui saling memahami dan menghormati.
  • Deepavali melambangkan kemenangan cahaya atas kegelapan, kebaikan atas keburukan serta memberi makna harapan.
  • Semangat perayaan mengingatkan kepentingan kekuatan, kesabaran, keprihatinan dan harapan menghadapi ketidaktentuan ekonomi.
  • Kerajaan MADANI komited tingkatkan kebajikan: atasi kos sara hidup, kukuh pendapatan, jamin bekalan asas dan perluas peluang ekonomi.

Beliau berkata, kepelbagaian kaum dan agama merupakan kekuatan Malaysia yang perlu dipelihara menerusi sikap saling memahami, menghormati serta memperkukuh semangat kebersamaan.

Menerusi hantaran di Facebook sempena sambutan Deepavali, beliau berkata, perbezaan latar belakang bukan alasan untuk rakyat berpecah, sebaliknya menjadi asas kepada perpaduan sebagai sebuah keluarga besar Malaysia.

“Dalam kepelbagaian inilah terletaknya kekuatan Malaysia. Perbezaan bukan alasan untuk kita berpecah, sebaliknya menjadi asas untuk kita saling memahami, menghormati dan memperkukuhkan perpaduan sebagai sebuah keluarga besar Malaysia,” katanya.

Datuk Seri Fadillah turut menyifatkan Deepavali atau Pesta Cahaya sebagai perayaan yang membawa makna besar kepada penganut agama Hindu, melambangkan kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, kebaikan mengatasi keburukan serta harapan mengatasi kesulitan.

Menurutnya, semangat perayaan itu turut mengingatkan masyarakat mengenai pentingnya kekuatan, kesabaran, keprihatinan dan harapan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi serta cabaran kehidupan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Kerajaan MADANI komited memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.

“Usaha menangani kos sara hidup, memperkukuh pendapatan isi rumah, menjamin keterjaminan bekalan keperluan asas serta memperluas peluang ekonomi akan terus dipergiatkan agar manfaat pembangunan dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, kemajuan negara bukan hanya diukur berdasarkan pertumbuhan ekonomi, tetapi juga sejauh mana kehidupan rakyat bertambah baik tanpa ada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan.

“Kita mahu setiap rakyat, tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan wilayah, dapat menikmati kehidupan yang lebih baik. Kemajuan negara tidak seharusnya hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi, tetapi juga melalui sejauh mana kehidupan rakyat bertambah baik dan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan,” katanya.

Sehubungan itu, Datuk Seri Fadillah mengajak rakyat untuk terus menyemarakkan semangat kebersamaan dengan bersatu dalam matlamat serta mempertahankan keharmonian, keamanan dan kemakmuran negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.