
KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Usaha mendapatkan lebih banyak perlawanan persahabatan antarabangsa berstatus Tier 1 menjadi antara fokus Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam memperkukuh persiapan skuad Harimau Malaya, selain membantu meningkatkan kedudukan negara dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
- Perlawanan antarabangsa penting untuk mengekalkan momentum positif dan memperkemas persiapan pasukan menghadapi cabaran akan datang.
- FAM merancang lebih banyak perlawanan persahabatan antarabangsa bagi memberikan pendedahan kompetitif kepada pemain.
- Kehadiran pemain baharu dan nama besar dilihat sebagai perkembangan positif berdasarkan prestasi dalam FIFA ASEAN Cup.
- Perancangan berterusan diperlukan untuk mempertingkatkan kekuatan pasukan dan memastikan persediaan lebih mantap.
Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, selain aksi menentang China November ini, pihaknya mahu mengatur lebih banyak perlawanan antarabangsa bagi memastikan skuad kebangsaan terus mendapat pendedahan kompetitif.
Menurut beliau, peluang beraksi menentang pasukan antarabangsa penting untuk mengekalkan momentum positif Harimau Malaya, selain memperkemas persiapan pasukan dalam menghadapi cabaran akan datang.
“Kita harapkan perkara ini akan terus kekal dan kalau boleh kita pertambahkan lagi untuk menentukan bahawa kita bersedia untuk menghadapi beberapa perlawanan persahabatan bermula dengan China pada 14 dan 17 November ini.
“Dan juga kita cuba untuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan yang lain di peringkat antarabangsa Tier 1 untuk kita pastikan skuad kita nanti yang terbaik dan kita cuba untuk perlahan-lahan menaikkan ranking kita di peringkat FIFA itu sendiri,” katanya.
Beliau memaklumkan usaha menambah aksi persahabatan itu turut selari dengan keperluan membentuk skuad yang lebih mantap, menerusi perancangan perlawanan yang mampu menguji keupayaan pemain di peringkat antarabangsa.
Mengulas perkembangan pasukan, beliau menyifatkan kehadiran pemain baharu serta nama-nama besar dalam skuad Harimau Malaya sebagai perkembangan positif, berdasarkan potensi yang ditampilkan dalam kejohanan FIFA ASEAN Cup sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya, perkembangan itu perlu disusuli perancangan berterusan supaya kekuatan pasukan dapat dipertingkatkan, sekali gus memastikan Harimau Malaya lebih bersedia menghadapi cabaran seterusnya.
“Di peringkat awal saya sudah nyatakan bahawa diatas kertas pasukan kita ada perkara yang baik, nama-nama besar yang pemain baharu yang masuk menyertai skuad Harimau Malaya. memang satu perkara yang baik dan terbukti semasa kejohanan FIFA ASEAN Cup itu tempoh hari,” Jelasnya.
Sehubungan itu, usaha mendapatkan lebih banyak perlawanan persahabatan antarabangsa dilihat sebagai antara langkah penting FAM untuk memastikan skuad Harimau Malaya terus berkembang, meningkatkan daya saing dan memperbaiki kedudukan dalam ranking FIFA secara berperingkat.