
KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Peningkatan 50 peratus peruntukan bagi aktiviti sukan murid sekolah kepada RM27 juta menerusi Belanjawan 2027 dilihat sebagai peluang untuk memperkukuh pembangunan sukan akar umbi dan mencungkil bakat baharu.
- Sekolah perlu diberi perhatian lebih sebagai platform menyemai minat dan mengenal pasti potensi atlet sejak usia muda.
- Fokus kepada kemudahan asas dan peluang latihan di peringkat sekolah penting, bukan hanya tumpuan kepada prestasi tinggi.
- Cadangan bina trek larian asas secara berperingkat, misalnya 50m atau 60m, untuk menyemarakkan minat olahraga murid.
- Skop penggunaan peruntukan perlu diperjelaskan agar pelaburan akar umbi dapat dilaksanakan secara sistematik dan menyokong prestasi masa hadapan.
Penganalisis sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, pembangunan di peringkat sekolah perlu diberikan perhatian lebih besar kerana institusi pendidikan merupakan antara platform penting dalam menyemai minat serta mengenal pasti potensi atlet sejak usia muda.
Menurut beliau, pembangunan sukan negara selama ini banyak memberikan tumpuan kepada prestasi tinggi, sedangkan kemudahan asas dan peluang latihan di peringkat sekolah turut memainkan peranan penting dalam melahirkan atlet berkualiti.
“Kalau ada peruntukan yang spesifik yang semakin bertambah di peringkat pembangunan akar umbi, ini satu perkara yang baiklah tentang belanjawan kita.” Katanya.
Beliau berkata, kemudahan sukan yang bersesuaian dapat menggalakkan murid menyertai aktiviti sukan secara konsisten, khususnya dalam sukan olahraga yang memerlukan ruang latihan khusus.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya pembinaan trek larian asas di sekolah dipertimbangkan secara berperingkat, mengikut kesesuaian ruang dan keperluan masing-masing.
“Kalau kita bagi secara berperingkat-peringkat kepada sekolah untuk membangunkan satu trek 50 meter dan 60 meter pun saya rasa dah cukup baik dah.
“Saya rasa ini akan menyemarakkan minat budak-budak sekolah di peringkat akar umbi terhadap sukan olahraga kerana kemudahan seperti itu boleh menjadi dorongan dan insentif kepada mereka untuk menceburi sukan berkenaan,” jelasnya.
Beliau bagaimanapun berkata, skop penggunaan peruntukan RM27 juta itu perlu diperjelaskan, termasuk sama ada ia melibatkan pelaksanaan aktiviti sukan, penyediaan peralatan atau pembangunan kemudahan sukan.
Menurutnya, pelaburan di peringkat akar umbi penting bagi memastikan proses mengenal pasti dan membangunkan bakat atlet dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, sekali gus menyediakan asas yang kukuh untuk prestasi sukan negara pada masa hadapan.