LA2028 pentas terakhir legasi karier The Pocket Rocketman

Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang

KUALA LUMPUR, 4 November – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menyasarkan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028) sebagai pentas terakhir untuk melengkapkan legasi kariernya, bukan lagi sekadar misi menebus kekecewaan lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kembalinya selepas persaraan kerana rasa belum selesai selepas prestasi terhad di Paris 2024.
  • Pendekatan selangkah demi selangkah, fokus pada kelayakan dan memberi penamat terbaik tanpa tekanan pingat emas.
  • Memerlukan sokongan pasukan lengkap dan sedang adakan pertemuan dengan bakal penaja korporat untuk kempen profesional.
  • Menerima insentif SHAKAM RM180,000 serta pingat Sukan Komanwel dan Asia 2026, merakamkan penghargaan kepada agensi sukan.

Pada usia 38 tahun, atlet kelahiran Terengganu berkenaan mengintai penampilan keenam di temasya terbesar dunia itu dengan memilih pendekatan selangkah demi selangkah, bermula dengan memastikan kelayakan ke LA2028 tanpa meletakkan tekanan terhadap sasaran pingat emas.

Keutamaannya kini adalah memberikan penamat terbaik dalam karier mengikut perjalanan sendiri, tanpa menjadikan keputusan akhir sebagai ukuran tunggal kejayaan.

“Jika ditanya kepada saya, Olimpik kali ini adalah tentang memahat legasi. Harapannya, LA2028 menjadi penampilan keenam saya dan saya mahu mencari penutup terbaik untuk diri sendiri, apa jua keputusannya” katanya selepas majlis penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), di sini.

Foto FB KBSMalaysia

Sementara itu, beliau berkata, keputusan untuk kembali daripada persaraan didorong oleh perasaan bahawa masih ada perkara yang belum diselesaikan selepas tidak berpeluang mempamerkan kemampuan sebenar pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Datuk Azizulhasni mengakui, pengalaman di Paris terus menjadi antara dorongan utama untuk kembali ke gelanggang dan memburu peluang menamatkan perjalanan Olimpiknya dengan lebih bermakna.

“Di Paris, saya tidak dapat berlumba dengan sepenuhnya dan tidak dapat mempamerkan keseluruhan prestasi saya. Selepas membuat keputusan untuk bersara, setiap kali bangun pagi saya merasakan ada sesuatu yang belum selesai. Itu antara sebab saya membuat keputusan untuk kembali,” katanya.

Beliau turut mengakui persiapan menuju LA2028 memerlukan sokongan pasukan yang lengkap, khususnya selepas ketiadaan Ketua Jurulatih Kebangsaan, John Beasley.

Walaupun sudah menguruskan program latihan sendiri di Melbourne sejak menjalani pembedahan jantung, atlet yang dikenali dengan julukan ‘The Pocket Rocketman’ itu menegaskan kempen Olimpik, tidak boleh digalas secara bersendirian.

Sehubungan itu, beliau kini giat mengadakan pertemuan dengan bakal penaja korporat bagi membentuk kempen persiapan secara profesional menjelang Disember.

Terdahulu, Datuk Azizulhasni Awang menerima insentif SHAKAM berjumlah RM180,000 atas kejayaan merangkul pingat emas dalam acara keirin pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 serta pingat emas dan gangsa pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) serta Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) atas sokongan yang diberikan.

Kepada pelumba muda, beliau mengingatkan mereka agar menjadikan insentif sebagai motivasi tambahan, dengan tidak mengetepikan kebanggaan mengharumkan nama negara sebagai matlamat utama.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.