Kematangan fikiran Zi Yu, prospek berharga skuad badminton negara

Beregu wanita negara Noraqilah Maisarah (kiri) dan Low Zi Yu (kanan) ketika menentang beregu China Bao Li Jing dan Cao Zi Han pada Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2026 di Bukit Jalil / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 November – Mentaliti tinggi dan kematangan pada usia 16 tahun menjadikan juara dunia remaja, Low Zi Yu antara prospek berharga skuad beregu wanita negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketua jurulatih Rosman Razak mengekalkan gandingan Zi Yu dan Noraqilah untuk persiapan kelayakan Olimpik LA2028.
  • Zi Yu menjuarai acara beregu wanita Kejohanan Dunia Remaja bersama Genevie Lim di Kaherah.
  • Pasangan kini berada sekitar ranking ke-42 dunia; menukar gandingan berisiko menjejaskan pengumpulan mata kelayakan.
  • Menewaskan pasangan nombor lima dunia di Piala Uber; naib juara Super 100, suku akhir Super 300 dan Super 500.

Kelebihan itu mendorong ketua jurulatih, Rosman Razak meletakkan harapan terhadap gandingannya bersama Noraqilah Maisarah Ramdan untuk memburu tiket Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).

Menurut Rosman, Zi Yu memiliki pemikiran berbeza berbanding pemain seusianya kerana jelas dengan sasaran yang mahu dicapai, termasuk impian untuk beraksi di pentas Olimpik.

Sikap matang dan cita-cita besar itu menjadi nilai tambah buat pemain kelahiran Segamat berkenaan, selain mencerminkan kesediaannya untuk bekerja keras meningkatkan mutu permainan.

“Walaupun baru berusia 16 tahun, dia antara pemain yang mempunyai cara berfikir berbeza. Dia meletakkan sasaran tinggi, tahu apa yang mahu dilakukan dan sangat matang.

“Kita memang mahukan pemain dengan mentaliti seperti itu. Apabila dia meletakkan sasaran untuk beraksi di Olimpik, dia tahu banyak perkara perlu dipelajari dan usaha yang perlu dilakukan untuk merealisasikan impian tersebut,” katanya.

Rosman Razak

Zi Yu mencipta kejayaan apabila menjuarai acara beregu perempuan Kejohanan Dunia Remaja bersama Genevie Lim di Kaherah, Mesir, bulan lalu.

Bagaimanapun, Rosman mengesahkan gandingan Zi Yu bersama Noraqilah akan dikekalkan sebagai persiapan menghadapi kempen kelayakan Olimpik yang bermula tahun depan.

Keputusan itu dibuat memandangkan pasangan berkenaan kini berada di ranking ke-42 dunia dan perubahan gandingan pada ketika ini dikhuatiri menjejaskan peluang mereka mengumpul mata kelayakan serta menembusi kelompok 32 terbaik dunia.

“Mulai tahun depan, mata kelayakan Olimpik akan mula dikumpulkan. Ketika ini, ranking Zi Yu sudah berada di sekitar kelompok 40 terbaik dunia. Jadi, bagi saya, menukar gandingan sekarang agak berisiko kerana mereka masih perlu meningkatkan tahap permainan untuk menembusi kelompok 32 terbaik, dan perkara itu bukan mudah jika perlu bermula semula dengan pasangan baharu” katanya.

Kemampuan Zi Yu-Noraqilah turut terserlah apabila menewaskan pasangan nombor lima dunia dari Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi ketika kempen Piala Uber di Horsens, Denmark.

Selain itu, mereka muncul naib juara Masters Baiji berstatus Super 100, selain mara ke suku akhir Terbuka Taiwan (Super 300) dan Terbuka Australia (Super 500) tahun ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.