
KUALA LUMPUR, 4 November – Sebanyak RM57.5 juta diperuntukkan bagi melaksanakan tujuh projek pembangunan fizikal di Kelantan pada 2027 menerusi Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), merangkumi lima projek baharu dan dua projek sambungan.
- Pengambilan tanah kawasan industri Cerang Tuli, Pasir Puteh dibiayai pinjaman Persekutuan RM40 juta.
- Naik taraf Bazar Siti Aisyah, Kota Bharu diperuntukkan RM10 juta.
- Projek baharu termasuk naik taraf Medan Usahawan Stadium Sultan Muhammad IV, medan selera Bukit Merbau dan Medan Usahawan Kota Meranti.
- Pembinaan lapan unit kilang IKS, medan selera Kemumin dan 12 unit rumah kedai di Badang menyokong usahawan.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, antara projek sambungan ialah pengambilan tanah bagi kawasan industri di Cerang Tuli, Pasir Puteh yang dibiayai menerusi pinjaman Kerajaan Persekutuan sebanyak RM40 juta.
Satu lagi projek sambungan melibatkan kerja menaik taraf Bazar Siti Aisyah di Kota Bharu dengan peruntukan RM10 juta.
“Bagi lima projek baharu pula, ia melibatkan kerja menaik taraf Medan Usahawan Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, pembinaan medan selera di Kompleks Sukan Bukit Merbau, Pasir Puteh serta Medan Usahawan Kota Meranti, Pasir Mas.
“Turut diluluskan ialah pembinaan lapan unit kilang Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta medan selera di Kemumin, Kota Bharu, selain 12 unit rumah kedai bertingkat di Badang, Kota Bharu,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat.
Pelaksanaan projek berkenaan dijangka memperluas kemudahan perniagaan serta menyediakan prasarana yang dapat menyokong aktiviti usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana di Kelantan.