Bantuan kerajaan kepada masyarakat India tidak terhad kepada MITRA – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada penerima masyarakat India ketika hadir meninjau persiapan perayaan Deepavali di Bazar Mega Deepavali 2026 di Brickfields./ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 November – Bantuan kerajaan kepada masyarakat India tidak hanya tertumpu kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), sebaliknya turut merangkumi pelbagai inisiatif menerusi agensi kerajaan lain dalam bidang keusahawanan, pendidikan, kebajikan dan pembangunan sosial.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemudahan pembiayaan melalui TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia serta bantuan bersifat menyeluruh seperti Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah.
  • Peruntukan MITRA ditingkatkan kepada RM150 juta dan akses pembiayaan kepada usahawan masyarakat India diperluas melalui TEKUN dan AIM.
  • Kerajaan peruntuk RM50 juta untuk penyelenggaraan serta pembaikan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan membangunkan semula sekolah daif.
  • Bantuan SARA sebanyak RM1.1 bilion mula disalurkan kepada lima juta penerima termasuk kira-kira 630,000 penerima daripada masyarakat India.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara inisiatif berkenaan termasuk kemudahan pembiayaan menerusi TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), selain bantuan bersifat menyeluruh seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Beliau berkata, kerajaan turut meningkatkan peruntukan MITRA kepada RM150 juta, selain memperluas akses pembiayaan kepada usahawan masyarakat India menerusi TEKUN Nasional dan AIM.

“Kadang-kadang orang ingat untuk bantuan masyarakat India ini hanya MITRA, sedangkan ada STR, Amanah Ikhtiar, TEKUN (Nasional) … ini semua juga sebahagian daripada bantuan yang kita sediakan.

“Adakah ini cukup? Belum cukup… itu saya setuju tetapi kita tambah perlahan-lahan… kita bincang dengan baik di mana dulu tidak ada, tapi kita tambah yang baharu,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra Deepavali di Bazar Mega Deepavali 2026 di Brickfields, hari ini.

Dalam aspek pendidikan, Datuk Seri Anwar berkata kerajaan memperuntukkan RM50 juta bagi kerja penyelenggaraan dan pembaikan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), termasuk usaha membangunkan semula sekolah daif.

Selain itu, kerajaan merancang pembinaan sebuah sekolah gantian penuh SJKT Ladang Pamol di Kluang, Johor serta enam sekolah Tamil baharu, termasuk projek yang hampir siap di Sungai Bakap, Pulau Pinang dan Klebang, Perak.

Kerajaan turut meluluskan tambahan peruntukan RM80 juta bagi sekolah, kuil dan rumah ibadat masyarakat India tahun ini bagi memperluas kemudahan serta memastikan kebajikan komuniti berkenaan terus terpelihara.

Sementara itu, sempena sambutan Deepavali, bantuan SARA berjumlah RM1.1 bilion mula disalurkan hari ini kepada lima juta penerima, termasuk kira-kira 630,000 penerima daripada masyarakat India.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh; Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.