Penyelidikan Islam beri panduan, bukan sekadar perbincangan akademik

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan/ Foto FB Dr Zulkifli Hasan

PUTRAJAYA, 4 November – Penyelidikan Islam berasaskan hukum berperanan dalam menghasilkan keputusan dan fatwa yang boleh dijadikan panduan dalam menangani pelbagai isu semasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyelidikan mesti diterjemah kepada pelaksanaan dan penyelesaian praktikal supaya manfaatnya dirasai masyarakat.
  • Banyak kajian telah dirujuk, diaplikasikan dan menghasilkan keputusan atau fatwa yang memberi manfaat kepada masyarakat.
  • Konvensyen JAKIM menghimpunkan penyelidik daripada pihak berkuasa agama, institusi akademik dan agensi kerajaan.
  • Empat pembentangan membabitkan pengawetan jenazah, pembangunan industri halal, transaksi emas dan penggunaan PrEP.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan berkata hasil penyelidikan Islam perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan dan penyelesaian praktikal bagi memastikan manfaatnya dirasai masyarakat, bukan sekadar menjadi bahan perbincangan akademik.

“Sebenarnya sudah banyak penyelidikan-penyelidikan yang telah pun digunakan, dirujuk dan diaplikasikan, termasuk juga kajian-kajian yang berasaskan hukum dimana hukum tersebut telah pun dilaksanakan ataupun telah difatwakan dan ianya juga memberi manfaat kepada masyarakat.

“Ini bermakna kajian-kajian itu bukan hanya kajian sahaja, tetapi ianya mesti dilaksanakan ataupun diaplikasikan agar ianya dapat memberi impak kepada masyarakat”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Konvensyen Penyelidikan Islam Peringkat Kebangsaan 2026 di Auditorium Masjid Putra, Putrajaya.

Konvensyen anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu menghimpunkan lebih 200 penyelidik daripada pelbagai institusi, termasuk pihak berkuasa agama, institusi akademik dan agensi kerajaan.

Sebanyak empat pembentangan penyelidikan yang menyentuh isu semasa turut diadakan, merangkumi kajian berkaitan pengawetan jenazah muslim, pembangunan industri halal, transaksi pelaburan emas serta penggunaan ubat PrEP bagi tujuan pencegahan HIV.

Konvensyen itu menjadi platform perkongsian dan wacana bagi membincangkan serta menyebar luas dapatan penyelidikan supaya hasil kajian dapat dimanfaatkan masyarakat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.