Piala FA: Stadium Sultan Ibrahim, lokasi perlawanan akhir

Foto FB JOHOR Southern Tigers

KUALA LUMPUR, 4 November – Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puteri dipilih sebagai lokasi Perlawanan Akhir Piala FA 2026–2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlawanan dijadualkan pada 16 Januari 2027.
  • Stadium Nasional Bukit Jalil ditutup sementara untuk naik taraf padang, trek dan fasiliti menjelang Sukan SEA 2027.
  • Kerja naik taraf dijangka siap pada Mei 2027 menurut Perbadanan Stadium Malaysia.
  • SSI memiliki kapasiti 35,109 penonton, kemudahan bertaraf antarabangsa dan rekod menjadi tuan rumah perlawanan akhir sebelum ini.

Perlawanan dijadual berlangsung pada 16 Januari 2027.

Kenyataan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memaklumkan, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL Ketiga bagi Penggal 2025-2029 pada 3 November lalu.

Pemilihan SSI dibuat selepas Stadium Nasional di Bukit Jalil, tidak dapat digunakan berikutan kerja-kerja menaik taraf padang, trek balapan dan fasiliti stadium sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA 2027.

Berdasarkan pengesahan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), kerja-kerja naik taraf berkenaan dijangka siap pada Mei 2027.

“Pemilihan SSI mengambil kira beberapa faktor penting bagi memastikan kelancaran penganjuran perlawanan akhir itu, termasuk keadaan permukaan padang, pengurusan logistik, kemudahan penginapan pasukan serta kelengkapan stadium.

“Aspek lain yang turut diberi perhatian ialah kemudahan pentas utama, ‘corporate suite’, akses ke stadium, keselamatan dan operasi produksi siaran langsung,” demikian menurut kenyataan MFL.

Memiliki kapasiti 35,109 penonton serta kemudahan bertaraf antarabangsa, SSI menjadi pilihan bagi menggantikan Stadium Nasional yang tidak dapat digunakan untuk acara sukan sepanjang tempoh kerja naik taraf.

Reputasi SSI sebagai lokasi perlawanan bertaraf antarabangsa turut menjadi faktor pemilihan, selain stadium berkenaan pernah menjadi gelanggang aksi Harimau Malaya.

Ini termasuk perlawanan persahabatan Tier 1 menentang Palestin pada 8 September 2025 dan aksi Kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Nepal pada 25 Mac 2025.

Untuk rekod, SSI pernah menjadi tempat perlawanan akhir Piala FA 2023 yang menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) 2-0 pada 22 Julai 2023.

Penganjuran aksi akhir edisi 2026–2027 di SSI bakal menyaksikan stadium itu sekali lagi menjadi pentas perebutan trofi berprestij berkenaan antara dua pasukan terbaik yang berjaya mara ke perlawanan penentuan kejuaraan.

“Pemilihan SSI diharap dapat memberikan pengalaman terbaik kepada kedua-dua pasukan serta penyokong yang hadir menyaksikan aksi kemuncak Piala FA itu,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.