KPDN Pulau Pinang rekod 833 aduan pembelian dalam talian

Foto RTM

PULAU PINANG, 4 November – Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada ketika melakukan pembelian dalam talian susulan sebanyak 833 aduan berkaitan transaksi itu diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Isu harga mencatat 719 aduan, kedua tertinggi menurut Pengarah KPDN Pulau Pinang.
  • Perkhidmatan mengelirukan menerima 482 aduan, menjadi salah satu isu utama dilaporkan.
  • KPDN jalankan 66,737 pemeriksaan; sitaan bernilai RM5.1 juta atas pelbagai kesalahan.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, aduan pembelian dalam talian mencatatkan jumlah tertinggi, diikuti isu harga sebanyak 719 aduan dan perkhidmatan mengelirukan dengan 482 aduan.

Menurut beliau, pihaknya turut menerima 262 aduan berkaitan barangan kawalan serta 138 aduan membabitkan bengkel kenderaan bermotor.

“Jumlah aduan paling tinggi kali ini membabitkan transaksi pembelian dalam talian, iaitu sebanyak 833 aduan. Kedua tertinggi ialah berkaitan harga dengan 719 aduan, diikuti perkhidmatan mengelirukan sebanyak 482 aduan,”katanya selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali peringkat negeri Pulau Pinang di sebuah pasar raya di Jawi, Seberang Perai Selatan.

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai aduan terhadap mana-mana entiti perniagaan supaya segera menyalurkannya kepada KPDN untuk tindakan lanjut, dan tidak sekadar memuat naik aduan di media sosial.

Tambahnya, dari Januari hingga kini, KPDN Pulau Pinang telah menjalankan pemeriksaan ke atas 66,737 premis perniagaan di seluruh negeri.

Hasil pemeriksaan itu membawa kepada sitaan bernilai RM5.1 juta atas pelbagai kesalahan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.