
TELUK INTAN, 4 November – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perak mengenakan tindakan tegas terhadap empat kilang kelapa sawit di sini selepas dikesan gagal mematuhi Peraturan-Peraturan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 dalam Op Gempur.
- JAS mengeluarkan tujuh arahan lapangan dan lapan Notis Arahan di bawah Seksyen 31 serta Seksyen 37 AKAS 1974 (Pindaan 2024).
- Sembilan kompaun dikenakan atas kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
- Operasi penguatkuasaan melibatkan 19 pegawai, pemeriksaan sasaran, operasi mengejut malam serta pemeriksaan berjadual dan OPS Gempur.
- JAS Perak mengancam tindakan undang-undang tegas terhadap premis pencemar dan menyeru kerjasama penduduk serta pengusaha menjaga kualiti alam sekitar.
Operasi membabitkan seramai 19 pegawai penguat kuasa menjalankan pemeriksaan sasaran ke atas premis yang berpotensi menyebabkan pencemaran udara, air serta pengurusan buangan terjadual.
Pengarah JAS Negeri Perak Datuk Dr. Mohammad Ezanni Mat Salleh memaklumkan, daripada tujuh buah kilang kelapa sawit yang diperiksa, tiga hanya daripadanya didapati mematuhi piawaian, manakala empat lagi premis dikesan melakukan pelbagai pelanggaran perundangan.
“Susulan tindakan itu, pihak JAS telah mengeluarkan tujuh arahan di lapangan serta lapan Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan 2024).
“Selain itu, sebanyak sembilan kompaun turut dikenakan atas kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
“JAS Perak sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan secara berterusan ke atas industri di seluruh negeri. Selain pemeriksaan berjadual dan OPS Gempur, operasi mengejut turut dilaksanakan pada waktu malam dan awal pagi bagi memastikan pematuhan industri sepanjang masa,” menurut kenyataan itu.
Beliau turut memberi amaran keras kepada semua pengusaha industri bahawa tindakan undang-undang tegas di bawah AKAS 1974 akan terus diambil ke atas mana-mana premis yang menyumbang kepada pencemaran.
“JAS Perak juga menyeru kerjasama penduduk dan pengusaha industri untuk bersama-sama memelihara serta memulihara kualiti alam sekitar demi kesejahteraan bersama,” ujarnya.