
JERANTUT, 4 November – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan kejadian ketukan misteri pintu rumah yang tular di media sosial baru-baru ini di daerah Jerantut, Pahang.
- Pihak polis menerima maklumat awam mengenai dakwaan ketukan misteri yang dipercayai berlaku berulang dan membimbangkan penduduk.
- Siasatan dijalankan untuk mengesahkan kesahihan dakwaan serta mengesan individu yang mungkin terbabit.
- IPD mempergiat rondaan, memberi khidmat nasihat dan mengadakan pertemuan dengan pemimpin masyarakat untuk meredakan kerunsingan.
- Orang ramai diminta hubungi IPD Jerantut di talian 09-266 2222, ikut nasihat keselamatan dan elak menyebar spekulasi.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Nor Azman Yusof, berkata, pihaknya menerima maklumat awam berhubung dakwaan kejadian itu yang dipercayai berlaku berulang kali di beberapa buah rumah sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk setempat.
Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti kesahihan dakwaan berkenaan serta mengesan individu yang mungkin terbabit dalam kejadian itu.
Menurutnya, bagi meredakan kerunsingan penduduk, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut turut mempergiat rondaan, memberikan khidmat nasihat serta mengadakan pertemuan dengan pemimpin masyarakat.
Orang ramai juga diminta sentiasa mengambil perhatian terhadap nasihat keselamatan yang telah dikeluarkan sebelum ini.
Dalam pada itu, polis mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai yang boleh membantu siasatan dengan menghubungi IPD Jerantut menerusi talian 09-266 2222.
Masyarakat turut dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan kegusaran serta salah faham dalam kalangan penduduk.