Batik Air batal penerbangan ke Jeddah, penumpang dijadual semula

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Batik Air membatalkan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Jeddah yang dijadualkan pada 7.25 petang, pada Isnin berikutan peningkatan kebimbangan keselamatan yang menjejaskan perjalanan udara di Arab Saudi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembatalan melibatkan penerbangan OD701 ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz.
  • Keputusan dibuat sebagai langkah berjaga-jaga selepas menilai perkembangan situasi semasa.
  • Batik Air memantau perkembangan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa, pengendali lapangan terbang serta pihak berkepentingan lain.
  • Penumpang terjejas dijadual semula ke penerbangan seterusnya, akan dimaklumkan melalui maklumat berdaftar; pantau laman rasmi dan media sosial.

Syarikat penerbangan itu berkata, ia melibatkan penerbangan OD 701 dari KLIA ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz.

Keputusan itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga selepas menilai perkembangan situasi semasa di negara berkenaan.

Syarikat penerbangan juga sedang memantau perkembangan semasa dan bekerjasama dengan pihak berkuasa penerbangan, pengendali lapangan terbang serta pihak berkepentingan berkaitan bagi menilai kemungkinan kesan terhadap operasi penerbangan selain membuat keputusan operasi berdasarkan maklumat terkini serta keperluan keselamatan yang ditetapkan.

“Penumpang terjejas telah dijadualkan semula untuk menaiki penerbangan Batik Air seterusnya dan mereka akan dimaklumkan melalui maklumat perhubungan berdaftar.

“Penumpang juga digalakkan untuk memantau laman web rasmi dan saluran media sosial Batik Air bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai operasi penerbangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Batik Air turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami penumpang akibat pembatalan berkenaan selain kekal komited memastikan semua keputusan operasi dibuat mengambil kira keselamatan penumpang serta kru penerbangan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.