
PUTRAJAYA, 6 Oktober – Malaysia masih menunggu hasil perbincangan dengan Kerajaan Myanmar sebelum melaksanakan fasa seterusnya operasi penghantaran pulang warganya.
- Malaysia menunggu hasil rundingan dengan Kerajaan Myanmar sebelum melaksanakan fasa seterusnya penghantaran pulang.
- Kementerian Luar perlu maklum balas menentukan tarikh; kemudian Imigresen akan buat persiapan dan kenal pasti mereka yang akan dihantar pulang.
- Tiada angka tepat pelarian; kerajaan bergantung kepada data UNHCR, dan DPP dijangka memberi gambaran lebih tepat.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya kini menunggu maklum balas Kementerian Luar berhubung hasil rundingan dengan Kerajaan Myanmar bagi menentukan tarikh fasa seterusnya.
“Selepas kita menerima tarikh, kita akan membuat persiapan yang diperlukan dan mengenal pasti mereka yang akan dihantar pulang.
“Ini adalah operasi yang berterusan walaupun selepas kita sudah selesai menghantar 5,000 warga Myanmar yang dipersetujui sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar operasi khas jabatan itu di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan tiada angka tepat jumlah pelarian di Malaysia ketika ini.
Kerajaan bergantung kepada data Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang merekodkan lebih 200,000 pelarian dengan kira-kira separuh daripada pemegang kad UNHCR ialah warga Myanmar.
Tambah beliau lagi, pelaksanaan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) dijangka memberi gambaran lebih tepat mengenai jumlah sebenar pelarian di negara ini.