
KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Penyakit jantung iskemik (IHD) kekal menjadi punca utama kematian di Malaysia dengan 17,421 kematian direkodkan pada 2024.
- Diabetes dan hipertensi antara faktor risiko utama penyakit kardiovaskular di Malaysia.
- Kedua-dua penyakit meningkat dalam kalangan golongan muda dan sering tanpa gejala pada peringkat awal.
- Bagi umur 18 hingga 29, dianggarkan lebih 8 daripada 10 kes diabetes dan hipertensi masih belum diketahui atau didiagnosis.
- Akses saringan diperluaskan melalui sektor swasta termasuk Skim PeKa B40; 2,041,010 individu disaring 2019 hingga 31 Ogos 2026.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan, diabetes dan hipertensi merupakan antara faktor risiko utama penyakit kardiovaskular
berkenaan.
Beliau berkata, situasi ini dilihat membimbangkan susulan kedua-dua penyakit itu telah pun berlaku dalam kalangan golongan muda dan tidak disedari kerana lazimnya tidak menunjukkan gejala pada peringkat awal.
“Bagi kumpulan umur 18 hingga 29 tahun, dianggarkan seramai 192,464 orang menghidap diabetes dan 339,853 orang menghidap hipertensi. Namun, lebih 8 daripada 10 kes bagi kedua-dua penyakit masih belum diketahui atau didiagnosis.
“Bagi kumpulan umur 30 hingga 39 tahun, dianggarkan seramai 378,508 orang menghidap diabetes dan 938,865 orang menghidap hipertensi. Dalam kumpulan ini, lebih 6 daripada 10 kes diabetes dan lebih 7 daripada 10 kes hipertensi masih belum diketahui atau didiagnosis.”
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Mohd Misbahul Munir Masduki (Parit Buntar) mengenai strategi Kementerian dalam menangani peningkatan kes diabetes dan darah tinggi dalam kalangan belia bawah 40 tahun.
Datuk Seri Dr Dzulkefly memaklumkan, akses kepada saringan turut diperluaskan melalui sektor swasta.
Ia termasuk Skim PeKa B40 yang melibatkan 4,455 klinik panel di seluruh negara.
Bagi tempoh 2019 hingga 31 Ogos 2026, seramai 2,041,010 individu telah menjalani saringan melalui PeKa B40 kepada individu yang berumur 40 tahun
ke atas serta pasangan.