Penggunaan AI perlu pengawasan manusia

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar hadir ke majlis Inaugural Financial Lines Forum 2026 di ibu negara / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam bidang profesional perlu disertakan pengawasan manusia yang berkesan bagi memastikan penggunaannya kekal bertanggungjawab dari sudut undang-undang dan profesional.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengawasan manusia berkesan diperlukan supaya penggunaan AI kekal bertanggungjawab dari segi undang-undang dan profesional.
  • Institusi perlu fahami tujuan, risiko AI dan sediakan langkah perlindungan sesuai untuk menilai ketepatan serta had keupayaan sistem.
  • Tadbir urus, tanggungjawab dan liabiliti mesti jelas; keputusan klinikal dinilai berdasarkan maklumat ketika dibuat, bukan dengan pengetahuan selepas.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, AI menawarkan pelbagai peluang termasuk membantu pertimbangan profesional, meningkatkan kecekapan dan menyokong proses membuat keputusan.

Bagaimanapun, jelas beliau penggunaan teknologi itu turut menimbulkan persoalan berkaitan ketepatan maklumat, had keupayaan sistem serta pihak yang bertanggungjawab menyemak hasilnya, justeru institusi perlu memahami risiko dan menyediakan langkah perlindungan yang bersesuaian.

“Teknologi boleh membantu pertimbangan profesional, namun pengawasan manusia yang berkesan kekal penting. Institusi yang menggunakan AI perlu memahami tujuan teknologi itu digunakan, risiko yang mungkin timbul serta langkah perlindungan yang diperlukan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Inaugural Financial Lines Forum 2026 di ibu negara, hari ini.

Beliau berkata, penggunaan AI juga mempunyai kaitan dengan tadbir urus, tanggungjawab profesional dan liabiliti undang-undang, terutama apabila sistem tidak berfungsi seperti yang dijangkakan.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh isu kecuaian perubatan dengan menegaskan keputusan klinikal perlu dinilai berdasarkan keadaan dan maklumat yang tersedia ketika keputusan dibuat, bukan semata-mata berdasarkan pengetahuan selepas sesuatu kejadian.

“Tidak setiap kesilapan pertimbangan, hasil rawatan yang buruk atau komplikasi perubatan boleh dianggap sebagai kecuaian. Keputusan klinikal perlu dinilai berdasarkan keadaan dan maklumat yang tersedia ketika keputusan itu dibuat, bukan semata-mata berdasarkan pengetahuan selepas sesuatu kejadian berlaku,” jelasnya.

Inaugural Financial Lines Forum 2026 anjuran Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Chan Ban Eng & Co (CBE) menghimpunkan pengamal undang-undang, kesihatan, korporat serta industri insurans dan insurans semula bagi membincangkan isu kecuaian perubatan, liabiliti pengarah dan pegawai serta tadbir urus AI.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.