RFN5, DPN3 jadi hala tuju pembangunan fizikal, pembandaran negara

Foto RTM

PETALING JAYA, 4 November – Rancangan Fizikal Negara ke-5 (RFN5) dan Dasar Perbandaran Negara ke-3 (DPN3) bakal menjadi hala tuju utama kepada pembangunan fizikal serta pembandaran negara yang lebih mampan.

RINGKASAN BERITA AI
  • 13 ikhtiar strategik termasuk keterjaminan makanan, penyelesaian berasaskan alam semula jadi, dan infrastruktur inklusif bagi menghadapi negara menua.
  • Pengoptimuman guna tanah untuk mencapai pembandaran 85% pada 2040, melindungi kawasan makanan dan mengekalkan 50% guna tanah utama.
  • Cadangan projek infrastruktur: kajian Rel Kelajuan Tinggi utara ke selatan, perancangan Lebuhraya Pantai Barat sebagai koridor ekonomi, sokongan penerokaan tenaga nuklear.
  • Peruntukan RM1 juta kepada MBPJ untuk AI dan IoT; sebahagian RM700 juta bagi 156 PBT; reformasi Penarafan Bintang PBT wajib patuh LKA dan Indeks Anti-Rasuah.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kedua-dua dasar tersebut menggariskan 13 ikhtiar strategik bagi mendepani cabaran masa hadapan, termasuk persiapan menghadapi lonjakan kadar pembandaran yang dijangka melebihi 85 peratus menjelang tahun 2040.

Menurut beliau, ikhtiar nasional itu turut merangkumi fokus terhadap keterjaminan makanan, kelestarian alam sekitar menerusi penyelesaian berasaskan alam semula jadi, serta penyediaan infrastruktur inklusif bagi mendepani status negara menua.

“Menerusi sesi libat urus yang menyeluruh, dasar ini dirangka berpaksikan realiti semasa, cabaran masa depan, dan aspirasi rakyat. Kedua-dua naskhah ini menjadi kompas kemajuan negara yang diselaraskan dengan aspirasi Malaysia MADANI bagi membantu perancangan, pembangunan fizikal, serta pembandaran negara.

“Langkah ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 2030), Agenda Pembandaran Baharu (New Urban Agenda), dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Ia juga selari dengan gagasan Ekonomi MADANI untuk terus mengangkat kedudukan Malaysia antara 30 kuasa ekonomi terbesar di dunia, di samping mengimbangi kepesatan pembangunan dengan kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan rakyat,”katanya ketika berucap sempena Majlis Peramsian Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2026 Peringkat Kebangsaan di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini, hari ini.

Majlis tersebut turut menyaksikan peluncuran RFN5 dan DPN3 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

13 ikhtiar yang digariskan dalam kedua-dua dokumen itu antaranya mengoptimumkan pembangunan guna tanah bagi mencapai kadar pembandaran 85 peratus pada tahun 2040, melindungi dan melestarikan kawasan keterjaminan makanan negara serta mempertingkat usaha pengekalan 50 peratus guna tanah utama bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan kestabilan ekologi.

Selain itu, dokumen tersebut turut mencadangkan kajian jajaran Rel Kelajuan Tinggi menghubungkan selatan hingga ke utara tanah air, merencana penjajaran Lebuhraya Pantai Barat (WCE) sebagai koridor ekonomi baharu, serta menyokong penerokaan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga alternatif bersih.

Dalam majlis yang sama, Kor Ming turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada MBPJ bagi memperkasakan infrastruktur pusat kawalan, teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan Internet of Things (IoT) ke arah menjayakan agenda Bandar Pintar.

“Suntikan dana itu adalah sebahagian daripada RM700 juta yang dikhususkan bagi memperkasa keupayaan 156 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara.

“Bagi memastikan tata kelola yang baik di peringkat akar umbi, KPKT telah melaksanakan reformasi terhadap Sistem Penarafan Bintang PBT pada tahun ini.

“Buat julung kalinya, kriteria penilaian PBT kini mewajibkan pematuhan kepada Laporan Ketua Audit Negara dan Indeks Anti-Rasuah, sebagai langkah memperkukuh integriti penyampaian perkhidmatan awam demi kesejahteraan rakyat,” jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.