
IPOH, 4 November- Seramai 193 pegawai penguat kuasa dan 75 pegawai pemantau harga digerakkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak bagi memantau pematuhan peniaga sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026.
- KPDN Perak gerakkan pegawai penguatkuasa dan pemantau untuk memantau pematuhan peniaga sepanjang pelaksanaan SHMMP Deepavali.
- Skim berkuat kuasa tujuh hari hingga 10 November, kawal harga maksimum terhadap 11 jenis barangan keperluan.
- Tujuan pelaksanaan ialah menstabilkan harga dan memastikan bekalan mencukupi sebelum, semasa dan selepas perayaan.
- Tahun lepas 35 kes denda kerana gagal gunakan tanda harga merah jambu; Program Pasar Patuh dijalankan di Pasar Tanjung Rambutan.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata skim yang berkuat kuasa selama tujuh hari bermula hari ini hingga 10 November itu melibatkan kawalan harga maksimum terhadap 11 jenis barangan keperluan.
Beliau berkata pelaksanaan skim berkenaan bertujuan menstabilkan harga barangan serta memastikan bekalan mencukupi sebelum, semasa dan selepas perayaan.
“Pelaksanaan SHMMP Deepavali diteruskan bagi menstabilkan harga barangan serta memastikan bekalan mencukupi di pasaran sebelum, semasa dan selepas perayaan.
“Kita bukan bertujuan mengambil tindakan, sebaliknya memastikan semua peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Antara barangan yang dikawal harganya ialah daging kambing biri-biri bertulang import, kelapa, santan, bawang merah, bawang besar dan kacang dal Australia.
Sementara itu, sebanyak 35 kes direkodkan sepanjang pelaksanaan SHMMP Deepavali tahun lepas, membabitkan kegagalan peniaga menggunakan tanda harga khas berwarna merah jambu.
Menurut Datuk Kamalludin, kesemua kes berkenaan dikenakan kompaun.
Dalam perkembangan lain, KPDN Perak turut melaksanakan Program Pasar Patuh di Pasar Tanjung Rambutan di sini hari ini dengan kerjasama beberapa agensi bagi memastikan pematuhan peraturan serta amalan perniagaan beretika.