
KUALA LUMPUR, 28 November – Jenazah tokoh akademik dan penganalisis politik, Allahyarham Dr. Chandra Muzaffar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini, pada pukul 11.15 pagi tadi.
- Dr. Subramaniam Pillay menyifatkan pemergian Dr. Chandra sebagai kehilangan besar dalam reformasi sosial, hubungan antara etnik dan agama serta perjuangan kemanusiaan.
- Allahyarham banyak berkorban demi perjuangan, termasuk isu antiimperialisme dan solidariti terhadap Palestin.
- Presiden JUST itu menghasilkan dan menyunting pelbagai karya, antaranya Islamic Resurgence in Malaysia dan Rights, Religion and Reform.
Rakan karib Allahyarham, Dr. Subramaniam Pillay menyifatkan pemergian tokoh itu sebagai kehilangan besar kepada negara, khususnya dalam bidang reformasi sosial, hubungan antara etnik dan agama serta perjuangan kemanusiaan.
“Saya mengenali Allahyarham Dr. Chandra sejak tahun 1971, lebih 50 tahun lalu. Beliau banyak berkorban, termasuk meninggalkan jawatannya di Universiti Sains Malaysia (USM) untuk memberikan sepenuh perhatian kepada perjuangannya.
“Dr. Chandra turut banyak menyumbang dalam memperjuangkan isu antiimperialisme dan solidariti terhadap Palestin.
“Ini merupakan hari dan minggu yang amat menyedihkan apabila kita kehilangan dua tokoh, Pak Samad dan Dr. Chandra,” katanya.
Terdahulu, kira-kira 150 ahli keluarga dan kenalan Allahyarham hadir menunaikan solat jenazah di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), di sini, pada pukul 10.30 pagi.
Allahyarham yang juga Presiden Pergerakan Antarabangsa untuk Dunia yang Adil (JUST) meninggal dunia pada pukul 6.34 petang semalam di Hospital KPJ Damansara pada usia 79 tahun.
Beliau sebelum itu menerima rawatan akibat jangkitan paru-paru sebelum dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung.
Allahyarham meninggalkan balu, Mariam Mohd Hashim, 75 tahun, selain dua anak perempuan, Samirah, 51 tahun, dan Anisa, 47 tahun.
Dilahirkan di Bedong, Kedah pada 10 Mac 1947, Allahyarham memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang sains sosial dari Universiti Singapura pada 1977.
Sepanjang kerjayanya, beliau turut menghasilkan dan menyunting pelbagai karya, termasuk Islamic Resurgence in Malaysia (1987), Human Rights and the New World Order (1993) serta Rights, Religion and Reform (2002).