
SEREMBAN, 28 November- Kerajaan Persekutuan memberi jaminan akan menyalurkan dana mencukupi bagi pembayaran gaji penjawat awam Negeri Sembilan sekiranya pembentangan Belanjawan negeri tidak dapat dilaksanakan sehingga tahun depan.
- Anwar meminta penjawat awam terus menjalankan tugas dengan baik.
- Setiausaha Kerajaan Negeri akan berhubung dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi memastikan bayaran dibuat mengikut jadual.
- Bayaran gaji penjawat awam Negeri Sembilan dijamin tidak lewat walau sehari.
- Sebanyak 43 projek tebatan banjir diluluskan, manakala projek laluan Seremban-Kuala Pilah dan pembangunan berorientasikan transit diminta disegerakan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jaminan itu bagi memastikan penjawat awam negeri terus menerima gaji, upah dan elaun mengikut jadual ditetapkan.
“Untuk penjawat awam, kerjalah dengan baik dan teruskan tugas. Tidak ada permasalahan dari segi gaji, upah dan elaun. Itu jaminan kerajaan.
“Setiausaha Kerajaan Negeri akan berhubung dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi memastikan pembayaran bukan sahaja diterima, malah mengikut jadual ditetapkan.
“Tidak lewat walau sehari pun bagi pembayaran gaji penjawat awam Negeri Sembilan,” katanya ketika berucap pada Program Yakin MADANI: Memaknai Harapan Rakyat di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Anwar berkata sebanyak 43 projek tebatan banjir telah diluluskan di Negeri Sembilan termasuk empat projek baharu membabitkan Sungai Lenggeng, Sungai Jimah, Sungai Gemencheh dan Sungai Si Rusa bernilai RM2.2 bilion.
Beliau turut meminta supaya projek laluan Seremban-Kuala Pilah serta pembangunan berorientasikan transit bernilai RM180 juta yang telah lama diluluskan disegerakan dan disiapkan bagi memberi kemudahan kepada rakyat.