
KUALA LUMPUR, 4 November- Lembaga Tabung Haji (TH) telah melaksanakan 13 daripada 17 syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) di bawah tanggungjawabnya bersamaan 76 peratus daripada keseluruhan syor yang perlu dilaksanakan institusi itu.
- Pelaksanaan penambahbaikan meliputi tadbir urus, pelaporan kewangan, pengurusan pelaburan dan risiko, serta proses membuat keputusan.
- RCI mengemukakan 25 syor termasuk pengukuhan kerangka institusi, pengurusan risiko, dan pelaporan berkaitan pengurusan TH 2014-2020.
- Lapan syor melibatkan pihak lain termasuk Kementerian Kewangan dan pihak berkuasa berkaitan.
- Pelan Pemulihan sejak 2018 memperkukuh rizab, kawalan kos haji, dan TH guna pakai piawaian perakaunan serta umum agihan berdasarkan penyata diaudit sejak 2022.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata pelaksanaan syor berkenaan merangkumi penambahbaikan dalam aspek tadbir urus, pelaporan kewangan, pengurusan pelaburan dan risiko serta proses membuat keputusan.
“Setakat ini, Tabung Haji telah melaksanakan 76 peratus syor RCI, iaitu 13 daripada 17 syor di bawah tanggungjawabnya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
RCI sebelum ini mengemukakan 25 syor penambahbaikan berhubung isu pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020, meliputi aspek tadbir urus, pengurusan kewangan dan pelaburan, pengurusan risiko, pelaporan serta pengukuhan kerangka institusi.
Daripada jumlah itu, lapan syor lagi melibatkan pihak lain termasuk Kementerian Kewangan (MOF) dan pihak berkuasa berkaitan.
Mengulas langkah penambahbaikan yang dilaksanakan, beliau berkata TH turut melaksanakan Pelan Pemulihan sejak 2018 yang memberi kesan positif terhadap pengurusan kewangan, pembentukan rizab lebih kukuh, kawalan kos haji serta penyampaian perkhidmatan.
“Antara tindakan yang telah diambil berdasarkan syor RCI adalah mengguna pakai sepenuhnya piawaian perakaunan selaras dengan pengesyoran RCI dan mengumumkan kadar agihan keuntungan berdasarkan penyata kewangan tahunan diaudit sejak 2022,” katanya.