Langkawi Eco Run 2026, beriadah sambil cakna alam sekitar

Foto LangkawiFM

LANGKAWI, 28 November – Kira-kira 500 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat menyertai Langkawi Eco Run 2026 yang berlangsung di pulau peranginan itu hari ini, sebagai usaha menggalakkan gaya hidup sihat dan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Langkawi Eco Run menyokong inisiatif hijau selaras dengan slogan “Cleaner, Greener, Smarter Langkawi”.
  • Edisi kali ini berpindah ke Resorts World Langkawi dan memperkenalkan kategori kompetitif 10.10 kilometer untuk lelaki dan wanita.
  • Larian santai lima kilometer dan acara berjalan pantas diperkenalkan atau dikekalkan bagi menggalakkan penyertaan seisi keluarga.
  • Acara ini menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar serta aspirasi Langkawi sebagai destinasi pelancongan sukan dan ekopelancongan unggul.

Acara pelepasan peserta disempurnakan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP), Mohd Hamri Abidin, awal pagi tadi.

“Kita mengadakan Eco Run ini sebagai inisiatif Majlis Perbandaran Langkawi. Salah satu tema slogan Majlis Perbandaran Langkawi ialah ‘Cleaner, Greener, Smarter Langkawi’.

Jadi, Eco Run ini termasuk dalam kategori inisiatif hijau. Kita mengajak masyarakat Langkawi bersama-sama menyokong usaha ini,” katanya.

Beliau berkata, edisi tahun ini menyaksikan beberapa pembaharuan berbanding penganjuran tahun lalu, terutama dari segi lokasi dan penawaran kategori larian.

Pada tahun lalu, acara itu berlangsung di Dataran Tanjung Rhu dengan hanya mempertandingkan kategori lima kilometer, manakala edisi kali ini beralih ke Resorts World Langkawi dengan memperkenalkan kategori kompetitif baharu sejauh 10.10 kilometer bagi lelaki dan wanita.

Selain itu, kategori larian santai lima kilometer untuk dewasa dan kanak-kanak turut dikekalkan, manakala acara berjalan pantas (brisk walk) sejauh lima kilometer diperkenalkan bagi menggalakkan penyertaan seisi keluarga.

Penganjuran kali ini bukan sahaja menarik penyertaan penduduk tempatan, malah turut disertai pengunjung dari luar yang mengambil peluang menikmati keindahan laluan pesisir pantai sambil menyokong kempen pemuliharaan alam sekitar.

Mohd Hamri berkata, program seumpama itu turut selaras dengan aspirasi menjadikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan sukan dan ekopelancongan unggul di rantau ini.

Program berkenaan turut disertai warga kerja LANGKAWIfm menerusi “Skuad Ya Untukmu” bagi mendekati masyarakat setempat serta mempromosikan stesen radio berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.