At-Taqwa Unity Fund Run 2026 perkukuh peranan masjid satukan komuniti

Pengerusi Masjid At-Taqwa, Datuk Mohd Fadzli Yusof / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 28 November – Masjid bukan sekadar tempat beribadah, malah berperanan sebagai pusat penyatuan masyarakat menerusi pelbagai aktiviti komuniti yang mengeratkan ukhuwah dan semangat kebersamaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • At-Taqwa Unity Fund Run 2026 mengajak masyarakat menyertai larian sambil menyokong pembangunan dan pengimarahan Masjid At-Taqwa TTDI.
  • Dua kategori, tiga dan enam kilometer, memberi peluang kepada peserta memilih jarak mengikut kemampuan masing-masing.
  • Hasil yuran dan sumbangan akan menyokong dana operasi, pembangunan serta aktiviti masjid, selain menggalakkan gaya hidup sihat dan kebersamaan komuniti.

Seiring dengan usaha itu, Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI) akan menganjurkan At-Taqwa Unity Fund Run 2026 pada 13 Disember ini, bagi mengajak masyarakat menyertai aktiviti larian sambil menyokong pembangunan dan pengimarahan masjid.

Pengerusi masjid, Datuk Mohd Fadzli Yusof berkata, program yang mengangkat moto ‘Satu Langkah, Seribu Kecergasan’ itu menawarkan dua kategori larian, iaitu tiga kilometer dan enam kilometer, bagi memberi peluang kepada peserta memilih jarak mengikut kemampuan masing-masing.

Beliau berkata, penganjuran itu diharap dapat menarik penyertaan keluarga, golongan belia serta masyarakat setempat untuk bersama-sama mengamalkan gaya hidup sihat, selain menyokong usaha masjid memperkukuh aktiviti komuniti.

“Sebahagian hasil kutipan daripada yuran penyertaan dan sumbangan menerusi program itu akan disalurkan bagi menyokong dana operasi, pembangunan serta aktiviti pengimarahan Masjid At-Taqwa TTDI,” katanya.

Selain acara larian, program berkenaan turut diserikan dengan pelbagai pengisian termasuk solat Subuh berjemaah, tausiah khas oleh Mufti Wilayah Persekutuan, sesi Zumba dan cabutan bertuah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.