
KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Seramai 84,590 penerima pencen Ilat direkodkan setakat 31 Ogos tahun ini, meningkat berbanding 74,760 penerima pada tahun 2022.
- PERKESO membayar faedah berkala pada tarikh 1 hari bulan; jika jatuh hari tidak bekerja, dibuat pada hari bekerja sebelum itu.
- Kementerian dan PERKESO memberi pertimbangan membayar faedah lebih awal ketika musim perayaan bagi membantu perancangan kewangan penerima.
- Kementerian dan PERKESO komited menambah baik kecekapan perkhidmatan, pemprosesan tuntutan, pembayaran faedah dan penyelesaian aduan menurut piagam pelanggan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, pihaknya bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sentiasa mengambil kira keperluan Orang Berinsurans (OB) dan orang tanggungan yang menerima bayaran faedah secara berkala, termasuk penerima pencen ilat dan penakat.
“Pada prinsipnya PERKESO membayar faedah berkala pada tarikh 1 hari bulan, hari bekerja. Jika tarikh 1 hari bulan tersebut jatuh pada hari tidak bekerja, maka bayaran akan dibuat pada hari bekerja sebelum 1 hari bulan.
“Namun, kementerian dan PERKESO juga turut mengambil kira faktor keperluan OB dan orang tanggungan terutama semasa musim perayaan bagi membayar faedah berkala lebih awal agar mereka ini tidak terpinggir dan dapat merancang perbelanjaan kewangan bulanan mereka semasa musim perayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau Veraman berkaitan jumlah penerima pencen Ilat mengikut julat bayaran bulanan bagi tahun 2022 hingga 2026 pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, menurut Datuk Khairul Firdaus, kementerian dan PERKESO sentiasa komited dalam menambah baik sistem kecekapan perkhidmatan, sistem pengoperasian dan pemprosesan tuntutan, pembayaran faedah, penyelesaian aduan dari semasa ke semasa.
Katanya, pengurusan tuntutan faedah perkeso dikendalikan mengikut piagam pelanggan sebagai salah satu indikator dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang diberikan mengikut standard kualiti yang ditetapkan.