JKM sedia beri bantuan kaunseling kepada keluarga Allahyarham Irene Sofiya

Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan / Foto RTM

NIBONG TEBAL, 6 Oktober – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia untuk memberikan khidmat kaunseling kepada keluarga Allahyarham Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal jika diperlukan.

RINGKASAN BERITA AI
  • JKM menghormati ruang dan privasi keluarga, memberi masa untuk mereka bertenang sebelum memulakan sebarang tindakan.
  • Ketua Pengarah Datuk Che Murad Sayang Ramjan merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa.
  • Kenyataan dibuat selepas Majlis Perasmian Penutup Program Kampung Angkat Madani JKM 2026 di Nibong Tebal.
  • Pelajar Irene Sofiya, 16, ditemui maut di dewan sekolah; tiada rekod disiplin, bedah siasat sahkan punca trauma tumpul di kepala.

Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan, berkata, buat masa ini, JKM mengambil pendekatan menghormati ruang serta privasi keluarga mangsa untuk memberi mereka peluang bertenang sebelum perkhidmatan intervensi dimulakan.

“Kita sangat bersimpati dan kita juga sama-sama merakamkan ucapan takziah kepada keluarga yang terlibat.Dari segi kesanggupan kerja kaunseling, memang kita punya kaunselor-kaunselor yang ada di JKM akan sedia untuk memberikan khidmat mereka apabila diperlukan.

“Tapi pada masa ini, biarlah kita beri ruang untuk mereka bertenang dan sebagainya, sehinggalah mereka bersedia untuk mungkin mendapatkan pertolongan daripada kami. Insya-Allah kami akan bersedia pada bila-bila masa.”

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutup Program Kampung Angkat Madani Jabatan Kebajikan Masyarakat 2026 di Nibong Tebal pagi tadi.

Sabtu lalu, pelajar perempuan Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16 tahun ditemui maut di dewan sebuah sekolah menengah di Yong
Peng, Batu Pahat.

Mangsa yang dikenali sebagai pelajar cemerlang dan tidak mempunyai rekod masalah disiplin itu ditemui dengan beberapa kesan kecederaan.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian akibat trauma tumpul di kepala.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.