STL 2026 perkukuh pembangunan bakat sepak takraw negara

Foto Facebook Dr Mohammed Taufiq Johari

KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Kejayaan sepak takraw negara di pentas antarabangsa, kini disusuli usaha memperkukuh pembangunan bakat di peringkat domestik.

RINGKASAN BERITA AI
  • STL 2026 menampilkan 12 pasukan division one dan 12 pasukan kategori premier.
  • Pembangunan bakat disokong ekosistem melibatkan kerajaan, persatuan dan sektor korporat.
  • STL sudah memasuki tahun ke-12 dan menjadi tonggak pembangunan bakat domestik.
  • STL 2026 beri pendedahan pemain muda, gabungan dengan senior untuk bentuk generasi baharu.

Menerusi Sepak Takraw League (STL) 2026, sebanyak 12 pasukan bakal berentap dalam ‘division one’, manakala 12 lagi pasukan dalam kategori premier.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kejayaan sepak takraw negara di Sukan Asia Aichi-Nagoya baru-baru ini, yang menamatkan penantian 36 tahun, perlu diteruskan dengan pembangunan bakat secara berterusan.

“Dan kita lihat bahawa ini adalah satu penganjuran yang sangat-sangat baik. Bagaimana sepak takraw bersama dengan Persatuan Sepak Takraw di bawah pimpinan Datuk Wira Sumali dan seluruh tim atlet dan jurulatih berjaya merangkul pingat emas dan pingat perak di Sukan Asia Aichi, Nagoya baru-baru ini.

“… dan ini menamatkan tempoh 36 tahun sejarah kita laksanakan”, katanya dalam Sidang Media Pelancaran STL 2026 di Kuala Lumpur.

Sebelum itu, Malaysia turut menamatkan kemarau 34 tahun dalam sepak takraw di Sukan SEA 2025, selain muncul juara Piala Dunia Sepak Takraw yang berlangsung di Malaysia.

Menurut Dr Mohammed Taufiq, kejayaan tersebut perlu disokong ekosistem pembangunan yang melibatkan kerajaan, persatuan dan sektor korporat.

“Dan tidak kalah penting juga adalah korporat ataupun sektor swasta yang boleh menyumbang dari segi kewangan dan juga pelbagai lagi aspek-aspek yang lain untuk memastikan bahawa kita mampu untuk membangunkan sukan negara kita yang lebih baik lagi”, katanya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Wira Mohd Sumali Reduan berkata, STL kini memasuki tahun ke-12 dan terus menjadi sebahagian daripada ekosistem pembangunan sepak takraw negara.

Beliau berkata kejayaan pemain di pentas Sukan SEA dan Sukan Asia turut mencerminkan hasil daripada pembangunan yang dilakukan menerusi liga domestik.

“Alhamdulillah juga semua orang tahu STL adalah salah satu ekosistem pembangunan sukan di seluruh negara kita yang sedikit sebanyak mutu dan juga kualiti bakat-bakat pemain di negara kita.

“Dan akhirnya kita dapat lihat setelah masuk tahun ke-12 kita telah menempa beberapa kejayaan, lebih lama daripada tahun lepas Sukan SEA, tahun ini Sukan Asia dan sebelum ini dari tahun 2004 itu juga adalah hasil daripada kejayaan STL kita”, katanya.

Malah, STL 2026 turut memberi penekanan kepada pemain muda untuk mendapatkan pendedahan dan bersaing bersama pemain senior.

Datuk Wira Mohd Sumali berkata, pendekatan itu antara langkah penting bagi mengenal pasti bakat yang mampu dibentuk untuk ke peringkat lebih tinggi.

“Sebenarnya kadang-kadang mungkin ada kelab atau pasukan yang tidak berani menurunkan pemain-pemain muda. Tetapi saya di Kuala Lumpur sebagai Presiden Kuala Lumpur kali ini saya turunkan anak muda yang kebanyakan muka baru untuk STL.

“Sebagai semata-mata untuk memberikan pendedahan dan juga untuk melihat sama ada mereka mampu bersaing dengan pemain-pemain senior dan pemain-pemain di luar yang lain semasa STL nanti”, katanya.

Dengan gabungan pemain berpengalaman dan bakat muda, STL 2026 diharap terus menjadi platform melahirkan generasi baharu sepak takraw, sekali gus memperkukuh kedudukan malaysia di pentas antarabangsa.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.