Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 5.1 peratus pada 2026

Ketua Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi hadir ke taklimat media mengenai Kemas Kini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik (EAP) Oktober 2026, di ibu negara / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 5.1 peratus tahun ini dan 4.7 peratus pada 2027, disokong permintaan luaran susulan peningkatan pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI) serta eksport, menurut Bank Dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bank Dunia menaikkan unjuran pertumbuhan Malaysia sebanyak 0.7 mata peratusan berbanding ramalan April.
  • Malaysia menerajui kapasiti pusat data di ASEAN dan mencatat pertumbuhan eksport berkaitan AI paling kukuh di rantau ini.
  • Lebih 70 peratus daripada pertumbuhan eksport awal 2026 didorong oleh peningkatan permintaan produk berkaitan AI.

Ketua Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi berkata, unjuran pertumbuhan negara tahun ini dinaikkan 0.7 mata peratusan berbanding ramalan April, mengatasi pertumbuhan serantau sebanyak 4.5 peratus.

“Malaysia juga menerajui kapasiti pusat data di rantau ASEAN dan mencatatkan pertumbuhan eksport dipacu kecerdasan buatan (AI) yang paling kukuh di rantau ini.

“Malah, lebih 70 peratus daripada keseluruhan pertumbuhan eksport negara pada awal 2026 adalah disebabkan peningkatan permintaan terhadap produk berkaitan AI. Jadi, Malaysia sememangnya sedang menikmati manfaat daripada gelombang AI.”

Beliau berkata demikian pada taklimat media mengenai Kemas Kini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik (EAP) Oktober 2026, di ibu negara hari ini.

Sementara itu, Ketua Ekonomi bagi Asia, Franziska Ohnsorge berkata, pertumbuhan rantau EAP dijangka sederhana kepada 4.5 peratus pada 2026-2027 iaitu 0.3 mata peratusan lebih tinggi berbanding unjuran enam bulan lalu.

Katanya, perkembangan itu sebahagian besar didorong pelaburan dan eksport berteknologi tinggi yang kukuh di negara-negara yang terlibat dalam rantaian nilai AI.

Beberapa negara di rantau ini, termasuk China, Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam mendapat manfaat ketara daripada peranan mereka dalam rantaian nilai barangan berkaitan AI.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.