
KUALA LUMPUR, 5 Oktober – Sebarang insiden membabitkan keselamatan pelajar di sekolah perlu dilaporkan segera kepada pihak berkuasa dan tidak disembunyikan demi menjaga reputasi sesebuah institusi.
- Ketua Polis Negara menekankan kerjasama erat antara PDRM, pihak sekolah, ibu bapa dan Kementerian Pendidikan untuk menangani kejadian segera.
- Dalam kes kematian pelajar di Yong Peng, polis akan menjalankan siasatan menyeluruh sebelum membuat sebarang kesimpulan.
- Orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan gambar atau maklumat belum disahkan dan memberi ruang kepada proses siasatan tanpa membuat spekulasi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, tindakan itu menyukarkan usaha polis untuk menangani kejadian berkenaan secara berkesan.
“Mungkin ada tindakan pihak tertentu yang cuba menyembunyikan isu bagi menjaga nama baik pihak tertentu. Namun, saya percaya sekiranya hubungan ini dipertingkat dan dipererat, ia dapat membantu kita menyelesaikan masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku Panduan Jururunding PDRM di Bukit Aman di sini hari ini.
Tan Sri Mohd Khalid menegaskan, kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa dan PDRM penting bagi memastikan setiap kejadian dapat ditangani segera serta tindakan sewajarnya.
“Kadangkala, perkara ini memerlukan perhatian bukan sahaja daripada pihak polis, tetapi juga pihak sekolah dan ibu bapa.
“Jadi, yang paling penting ialah sinergi antara PDRM, pihak sekolah atau Kementerian Pendidikan serta seluruh warga negara, khususnya ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah,” katanya.
Ketika mengulas mengenai kes kematian Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16 tahun di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor, beliau berkata masih ada perkara yang belum dapat dipastikan dan polis perlu menjalankan siasatan menyeluruh sebelum sebarang kesimpulan dibuat berhubung punca kejadian.
Pada masa sama orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan gambar mangsa, suspek atau maklumat yang belum disahkan kerana tindakan itu boleh mengganggu siasatan selain memberi kesan kepada keluarga mangsa.
“Pastikan maklumat yang diterima adalah sah dan benar-benar datang daripada pihak yang boleh memberikan keterangan atau penjelasan.
“Jangan sekadar mengambil maklumat tanpa sumber yang jelas dan kemudian menyebarkannya sehingga boleh menimbulkan masalah,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak supaya memberi ruang kepada proses siasatan dan tidak membuat sebarang spekulasi sehingga fakta sebenar kes diperoleh.