
ISTANBUL, 5 November- Malaysia sedang meneroka peluang memperluas kerjasama pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) dengan Turkiye, khususnya dalam pembangunan kemahiran dan pemindahan kepakaran.
- Merancang menghantar pelajar TVET ke Turkiye untuk mendalami bidang kemahiran tertentu; institusi terlibat UniKL dan UPTM.
- Melaksanakan program Training for Trainers dan menjemput pakar Turkiye ke institusi di bawah MARA untuk latihan tenaga pengajar.
- Hubungan lebih 40 tahun membuka peluang pemindahan teknologi dan perkongsian kepakaran pertahanan, diperkukuh melalui hubungan peribadi pemimpin.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata antara inisiatif yang dipertimbangkan ialah menghantar pelajar Malaysia ke Turkiye bagi mendalami bidang kemahiran tertentu yang mempunyai kepakaran di negara itu.
Beliau berkata Malaysia turut meneroka peluang melaksanakan program latihan tenaga pengajar atau Training for Trainers (ToT) termasuk dengan menjemput pakar dari Turkiye ke institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Antara institusi yang dikenal pasti ialah Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).
“Saya juga sedang merancang melalui Majlis TVET Negara (MTVET) yang saya pengerusikan untuk menghantar pelajar-pelajar TVET ke Turkiye bagi mendalami beberapa bidang kemahiran tertentu yang memerlukan kepakaran negara itu.
“Pada masa sama, kita turut meneroka peluang lain, bukan sahaja dari segi penghantaran pelajar, malah menjemput pakar dari Turkiye untuk melaksanakan program latihan tenaga pengajar (Training for Trainers).
“Saya akan mengenal pasti aspek-aspek kritikal yang bersesuaian dengan dasar TVET Negara 2.0,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pramesyuarat bersama barisan pegawai perwakilan Malaysia dan delegasi negara di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata hubungan Malaysia-Turkiye yang terjalin lebih 40 tahun turut membuka ruang kepada kerjasama lebih luas, khususnya dalam pemindahan teknologi dan perkongsian kepakaran dalam sektor pertahanan serta keselamatan.
Beliau berkata hubungan erat antara kedua-dua negara turut diperkukuh menerusi hubungan peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, sekali gus membuka ruang kepada pengukuhan hubungan diplomatik.
Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengingatkan jentera dan jurukempen BN supaya berkempen secara berhemah serta mengelakkan pertelingkahan berhubung isu sensitif yang tidak berkaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Saya ingin mengingatkan semua pihak, terutama jentera dan jurukempen di peringkat akar umbi, supaya lebih berhemah ketika berkempen.
“Saya melihat laporan-laporan bebas menunjukkan pengundi sudah menetapkan pilihan masing-masing, termasuk calon dan parti gabungan yang akan mereka undi.
“Jadi, saya tidak melihat kempen secara keterlaluan akan banyak mengubah pendirian serta keputusan awal pengundi,” katanya.
Pada PRN Melaka kali ini, BN bertanding di 23 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Perikatan Nasional (PN) bertanding di lima kerusi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian, manakala pengundian awal berlangsung pada 10 November.