
KUALA LUMPUR, 5 November – Peruntukan bidang kuasa rentas sempadan membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap pelaku yang berada di luar negara sekiranya kesalahan membabitkan sistem komputer di Malaysia atau mangsanya ialah warganegara Malaysia.
- Pengukuhan perundangan memperkasa PDRM dalam membanteras sindiket penipuan dalam talian, meningkatkan keberkesanan siasatan dan memberi kesan pencegahan.
- JSJK melihat pengukuhan kuasa penyiasatan meliputi pemeliharaan dan penzahiran data, pengumpulan data trafik serta pemintasan komunikasi sebagai langkah penting.
- RUU Jenayah Siber 2026 menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997, telah diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, peruntukan itu menyediakan asas perundangan lebih jelas bagi membolehkan siasatan dan penguatkuasaan dilaksanakan terhadap penjenayah yang beroperasi dari luar negara.
“Pengukuhan perundangan ini juga diyakini dapat memperkasa usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras sindiket penipuan dalam talian, meningkatkan keberkesanan siasatan serta memberikan kesan pencegahan kepada penjenayah yang beranggapan mereka boleh berlindung di sebalik sempadan negara atau teknologi digital,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, JSJK turut melihat pengukuhan kuasa penyiasatan berkaitan pemeliharaan dan penzahiran data, pengumpulan data trafik serta pemintasan komunikasi sebagai langkah penting dalam menangani jenayah siber.
“JSJK, PDRM kekal komited untuk memastikan ruang siber tidak dijadikan tempat perlindungan bagi penjenayah.
“Usaha memerangi jenayah siber memerlukan perundangan yang relevan, keupayaan penguatkuasaan yang responsif serta kerjasama antara agensi dan negara bagi melindungi masyarakat daripada ancaman jenayah digital yang semakin kompleks,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam jawapan bertulis di Parlimen menjelaskan Fasal 2 Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 memperuntukkan tindakan undang-undang terhadap pelaku di luar negara seolah-olah kesalahan itu dilakukan di Malaysia.
Beliau berkata, kerajaan turut menggunakan mekanisme kerjasama antarabangsa sedia ada bagi membolehkan penjenayah terbabit disiasat, didakwa dan diekstradisi ke Malaysia, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
RUU Jenayah Siber 2026 yang bertujuan menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 diluluskan Dewan Rakyat pada 1 Julai lalu sebelum mendapat kelulusan Dewan Negara pada 20 Julai.