Sarawak teliti dasar pembangunan bandar jangka panjang hingga 2050

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada Majlis Perasmian Penutupan National Planning Congress (NPC) 2026 dan MyCity Expo 2026 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya hari ini./ BERNAMA

PETALING JAYA, 5 November – Sarawak sedang meneliti hala tuju pembangunan bandar jangka panjang hingga 2050 bagi memandu perancangan sistem petempatan negeri itu serta memastikan pembangunan seimbang merentasi bandar utama, pekan kecil dan kawasan luar bandar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dasar 2050 menyediakan kerangka perancangan jangka panjang mengambil kira keluasan geografi dan kepelbagaian masyarakat Sarawak.
  • Imbangi pemodenan infrastruktur dan pembangunan bandar dengan kelestarian alam melalui penerapan konsep bandar pintar.
  • Hubungkan pusat bandar dengan wilayah sekitar; bandar seperti Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri perlu saling melengkapi ekonomi dan perkhidmatan.
  • Kejayaan diukur melalui manfaat nyata kepada rakyat: perjalanan kerja lebih singkat, perumahan lebih baik, perkhidmatan awam cekap, kejiranan selamat dan kos hidup rendah.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata cadangan Dasar Pembangunan Bandar Sarawak 2050 (Sarawak Urban Development Policy 2050) akan menyediakan kerangka perancangan jangka panjang dengan mengambil kira keluasan geografi serta kepelbagaian masyarakat di negeri itu.

Beliau berkata dasar berkenaan perlu mengimbangi pembangunan infrastruktur dan pemodenan bandar dengan kelestarian alam sekitar, termasuk menerusi penerapan konsep bandar pintar.

“Kita ada perancangan untuk membangunkan bandar-bandar kita berteraskan kepada bandar pintar, di mana kita mengambil kira semua aspek yang dikehendaki… khasnya perhubungan antara bandar dan juga alam sekitar.

“Maknanya infrastruktur kita membangun, membolehkan masyarakat yang tinggal dalam bandar dapat suasana yang selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama penutupan Kongres Perancangan Kebangsaan (NPC) 2026 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini, petang tadi.

Dalam ucapan bertajuk “Leadership for Better Cities: Our Shared Responsibility”, Tan Sri Abang Johari berkata Sarawak turut mengiktiraf kepentingan membangunkan sistem petempatan yang kukuh dengan menghubungkan pusat bandar dan wilayah sekitarnya.

Katanya, bandar seperti Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri perlu memainkan peranan yang saling melengkapi dalam menyediakan perkhidmatan, peluang pekerjaan serta aktiviti ekonomi.

Beliau berkata perancangan pembangunan juga perlu mengambil kira keperluan berbeza bandar kecil, petempatan di sepanjang sungai, masyarakat luar bandar dan kawasan pedalaman.

Menurutnya, tidak semua petempatan perlu berkembang menjadi kota metropolitan, sebaliknya setiap kawasan perlu mempunyai akses kepada perkhidmatan bersesuaian, kemudahan perhubungan dan peluang ekonomi.

Sehubungan itu, beliau berkata dasar berkenaan perlu dihubungkan dengan pelan berkanun, keputusan pembangunan, program infrastruktur dan mekanisme penyampaian yang jelas serta bertanggungjawab bagi memastikan perancangan strategik dapat dilaksanakan secara berkesan.

Beliau berkata pelan strategik itu juga perlu menjadi panduan bersepadu bagi penggunaan tanah, pengangkutan, perumahan, kemudahan awam dan perlindungan alam sekitar, dengan menetapkan hasil yang jelas serta agensi dan sumber yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaannya.

Mengulas pendekatan pembangunan negeri, Tan Sri Abang Johari berkata Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) menetapkan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar sebagai objektif yang saling memperkukuh.

“Kami tidak mendakwa telah menyelesaikan setiap cabaran… namun kami percaya bahawa hala tuju dasar yang konsisten, kerjasama antara institusi dan komitmen terhadap hasil yang boleh diukur menjadi asas kepada kemajuan,” katanya.

Beliau berkata kejayaan pembangunan bandar akhirnya perlu diukur berdasarkan manfaat yang dinikmati rakyat, termasuk perjalanan ke tempat kerja yang lebih singkat, kediaman lebih baik, perkhidmatan awam lebih cekap, kawasan kejiranan lebih selamat serta kos perbelanjaan isi rumah yang lebih berpatutan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.