
KUALA LUMPUR, 5 Oktober – Polis telah mengambil keterangan daripada 25 individu berhubung insiden melibatkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 28 September lalu.
- Pihak siasatan mendapatkan rakaman CCTV dan laporan perubatan untuk menyiasat insiden.
- Ketua Polis Negara memberi kenyataan pada sidang media selepas pelancaran buku panduan jururunding PDRM.
- Peranan Travel Control Officer termasuk mendapatkan risikan, tugasan di lapangan dan menjalin hubungan risikan.
- Tiada kepastian pelanggaran SOP; siasatan lanjut diperlukan dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Peguam Negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, pihak penyiasat juga mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan laporan perubatan sebagai sebahagian daripada siasatan tersebut.
“Setakat ini, kita telah mengambil keterangan daripada 25 individu yang hadir ketika kejadian berlaku. Pada masa sama, kita turut mendapatkan rakaman CCTV serta laporan doktor bagi memastikan semua perkara berkaitan kes ini dapat diteliti dan disiasat dengan sebaiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku Panduan Jururunding PDRM di Bukit Aman di sini hari ini.
Ketika menjelaskan mengenai Travel Control Officer (TCO) bawah Cawangan Khas, beliau berkata, pegawai berkenaan berperanan mendapatkan risikan, termasuk melaksanakan tugasan di lapangan serta menjalin hubungan risikan mengikut keperluan.
Mengulas status sama ada anggota terbabit melanggar prosedur operasi standard (SOP), beliau berkata perkara itu masih belum dapat dipastikan dan memerlukan penelitian lanjut.
“Dari segi kebiasaannya, anggota TCO tidak melanggar mana-mana SOP. Namun, mungkin ada perkara di pihak dalam bangunan TCO itu sendiri atau di KLIA yang memerlukan pelaksanaan tugas mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya lagi.
Pada masa sama orang ramai diminta supaya tidak membuat kesimpulan atau menyebarkan spekulasi, sebaliknya menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa sehingga fakta sebenar dikenal pasti.
“Masyarakat di luar sana jangan terlalu terikut-ikut dengan spekulasi yang berlaku. Biarlah perkara ini disempurnakan dan kita akan serahkan kertas siasatan tersebut kepada pihak Peguam Negara dalam masa terdekat,” katanya