Cadangan sebat bagi kesalahan akaun keldai diteliti

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah/ BERNAMA 

KUALA LUMPUR, 5 Oktober – Cadangan hukuman sebat sebagai hukuman tambahan bagi kesalahan membabitkan penyalahgunaan akaun keldai sedang diteliti sebagai usaha menangani ancaman sindiket penipuan kewangan yang semakin kompleks.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian sedia kaji semula kesesuaian hukuman sedia ada.
  • Penelitian menyeluruh terhadap keberkesanan, kesesuaian dan implikasi dalam kerangka perundangan jenayah.
  • Libat urus dan penyelarasan bersama AGC, kementerian serta agensi berkaitan.
  • PDRM melaksanakan 100,230 serbuan, menahan 9,159 individu dan menyasarkan keseluruhan rantaian sindiket.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pihaknya bersedia untuk mengkaji semula kesesuaian hukuman sedia ada.

Malah, kementerian akan menjalankan penelitian lanjut dari aspek keberkesanan, kesesuaian dan implikasi dalam kerangka perundangan jenayah negara.

“Melihat kepada cabaran yang semakin kompleks, penelitian ini akan dilaksana secara menyeluruh melalui libat urus dan penyelarasan bersama pihak-pihak berkepentingan termasuk Jabatan Peguam Negara (AGC) serta kementerian dan agensi berkaitan.

“Dalam hal ini, cadangan berkenaan hukuman sebatan sebagai hukuman tambahan bagi kesalahan tertentu melibatkan penyalahgunaan akaun keldai akan diteliti dan dipertimbangkan bersama pihak-pihak yang berkepentingan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berhubung kes penipuan pelaburan Triumph FX yang dibangkitkan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar mendedahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melaksanakan 100,230 serbuan ke atas pusat panggilan sindiket penipuan dari 2023 hingga Ogos lalu yang membawa kepada penahanan 9,159 individu merangkumi segenap rantaian sindiket.

Daripada jumlah itu, tindakan telah diambil terhadap 36 dalang utama, 74 pengurus, 165 penyelia, 118 individu berperanan sebagai pengurus kewangan atau pengendali akaun keldai, 132 pengatur cara teknologi maklumat (IT) dan 8,409 operator bawahan.

Katanya, statistik itu menunjukkan PDRM terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan bagi melumpuhkan keseluruhan rantaian operasi sindiket penipuan tersebut.

Tegas beliau, pendekatan itu sangat penting bagi memastikan tindakan penguatkuasaan yang dibuat bukan sahaja tertumpu kepada pelaku di peringkat bawahan, tetapi turut menyasarkan pihak yang mengawal, mengurus, dan mendapat manfaat daripada kegiatan jenayah tersebut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.