
KUALA LUMPUR, 5 Oktober – Laluan universiti bukan satu-satunya ukuran kejayaan golongan muda kerana pembangunan bakat juga boleh dicapai melalui bidang teknikal.
- Institusi kemahiran seperti politeknik dan kolej komuniti tawarkan sijil TVET sebagai laluan kerjaya alternatif.
- Permohonan ke politeknik meningkat ketara, menunjukkan perubahan persepsi terhadap pendidikan teknikal.
- Bidang teknikal menyediakan peluang tanpa ijazah; pelajar sastera turut mengikuti diploma kejuruteraan melalui program intervensi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kemahiran teknikal juga mampu menyediakan peluang kerjaya luas, khususnya kepada golongan yang tidak begitu menonjol dalam pencapaian akademik.
“Sejak dua tahun kebelakangan ini, kita sering menceritakan kepada rakyat bahawa universiti bukan satu-satunya tempat untuk mereka melanjutkan pelajaran.
“Kita juga ada institusi kemahiran lain seperti politeknik dan kolej komuniti yang menawarkan sijil kemahiran dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Selama ini masyarakat beranggapan politeknik adalah pilihan kedua sekiranya tidak dapat masuk ke universiti, namun sekarang permohonan masuk ke politeknik telah mencapai 132 peratus berbanding 60 hingga 70 peratus sebelum ini.
“Selain itu, kita turut mengubah cara kita mengajar agar institusi kemahiran turut menyumbang kepada keperluan menyediakan jurutera berkemahiran, seiring dengan keperluan kerajaan untuk melahirkan 60,000 jurutera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel sesi dialog ‘Teknologi Memacu Perubahan: Adakah Bakat Malaysia Bersedia?’ sempena Majlis Pelancaran Kerangka Kemahiran Masa Hadapan bagi Sektor Komunikasi dan Multimedia (C&M FSF) dan Inisiatif Pembangunan Bakat Strategik di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, di sini hari ini.
Turut hadir sebagai panelis dialog ialah Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akhbar Khan, manakala Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail bertindak sebagai moderator.
Mengulas lanjut Datuk Seri Dr Zambry berkata, bidang teknikal dan kejuruteraan turut menawarkan peluang kepada mereka yang tidak memiliki ijazah, melalui kursus kemahiran berkaitan.
Pelajar aliran sastera yang berminat juga boleh menceburi bidang kejuruteraan, dengan 447 pelajar kini mengikuti diploma kejuruteraan di politeknik
“Sudah tentu kita kena melakukan program intervensi untuk mereka. Ini antara langkah yang kita sedang buat untuk memastikan keperluan negara dalam bidang-bidang teknikal dapat kita sempurnakan,” katanya.