
KUALA LUMPUR, 5 Oktober – Sebanyak 37 peratus daripada 16.8 juta tenaga kerja berkemahiran di negara ini masih belum bekerja.
- Punca utama ialah kekurangan peluang pekerjaan, ketidakpadanan kemahiran dan tawaran gaji kurang menarik dalam bidang diminati.
- Perlu pendekatan lebih menarik dan pembangunan bakat berasaskan masa depan, sepatutnya dimulakan lima atau enam tahun lalu.
- Dasar Sumber Manusia 2026-2035 fokus pekerjaan produktif, perkembangan kerjaya, pendapatan bermakna dan perlindungan, memerlukan sokongan infrastruktur seimbang antara negeri.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, rekod itu diperoleh berdasarkan data suku kedua 2026.
Antara faktor yang dikenal pasti termasuk kekurangan peluang pekerjaan, ketidakpadanan kemahiran serta tawaran gaji yang kurang menarik dalam bidang diminati.
“Apa yang perlu kita lakukan secara serius ialah mengambil pendekatan yang lebih menarik berbanding dahulu.
“Konsep membangunkan bakat yang bersedia untuk menghadapi masa depan sebenarnya perlu dilaksanakan sejak lima atau enam tahun lalu. Kini, kita berdepan masalah dari segi bakat dan perkara itu tidak boleh dinafikan” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel sesi dialog ‘Teknologi Memacu Perubahan: Adakah Bakat Malaysia Bersedia?’ sempena Majlis Pelancaran Kerangka Kemahiran Masa Hadapan bagi Sektor Komunikasi dan Multimedia (C&M FSF) dan Inisiatif Pembangunan Bakat Strategik di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, di sini hari ini.
Turut hadir sebagai panelis dialog ialah Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir manakala Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail bertindak sebagai moderator.
Datuk Khairul Firdaus berkata, Kementerian Sumber Manusia memperkenalkan Dasar Sumber Manusia 2026-2035 yang memberi tumpuan kepada empat perkara, iaitu pekerjaan lebih produktif, perkembangan kerjaya, pendapatan lebih bermakna dan perlindungan sewajarnya.
Dasar berkenaan disokong empat agensi bawah kementerian, iaitu TalentCorp, Jabatan Pembangunan Kemahiran, HRD Corp dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Pelaksanaan dasar tersebut bagaimanapun memerlukan sokongan kemajuan infrastruktur yang seimbang antara negeri di Malaysia.
“Kita tidak mahu melihat hanya Lembah Klang yang menerima impak kemajuannya tetapi bagaimana dengan negeri saya (Sabah).
“Mungkin saya sedikit pilih kasih, tetapi saya kena suarakan bahawa kemajuan infrastruktur di negeri saya masih tidak begitu hebat,” katanya.