Hari Eksport Perak 2026 buka laluan usahawan tempatan tembusi pasaran antarabangsa

Program itu terbuka secara percuma kepada PMKS, koperasi serta perusahaan sosial berasaskan produk dan perkhidmatan di Perak

KUALA LUMPUR, 4 Oktober – Usahawan tempatan khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Perak berpeluang memperkukuh kesiapsiagaan eksport serta meneroka pasaran antarabangsa menerusi penganjuran Hari Eksport Perak 2026, yang bakal berlangsung pada 14 Oktober ini di Hotel Kinta Riverfront, Ipoh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penganjuran oleh Kerajaan Negeri Perak melalui STeP dengan kerjasama MATRADE menawarkan pendedahan praktikal mengenai pengembangan perniagaan ke pasaran luar negara.
  • Program terbuka secara percuma kepada PMKS, koperasi dan perusahaan sosial berasaskan produk serta perkhidmatan di Perak.
  • Enam sesi forum melibatkan agensi kerajaan, institusi kewangan, penyedia logistik dan pengeksport berpengalaman membincang topik kritikal eksport.
  • Penekanan pada celik kewangan, pemahaman perkembangan ekonomi geopolitik, pendigitalan dan peluang kerjasama untuk bimbingan serta tindakan susulan.

Program anjuran Kerajaan Negeri Perak menerusi Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) itu memberi pendedahan praktikal kepada peserta berkaitan aspek penting untuk mengembangkan perniagaan ke pasaran luar negara.

Kenyataan MATRADE menyebut, program yang berlangsung dari pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang itu terbuka secara percuma kepada PMKS, koperasi serta perusahaan sosial berasaskan produk dan perkhidmatan di Perak.

Hari Eksport Perak 2026 bakal menampilkan enam sesi forum bersama agensi kerajaan, institusi kewangan, penyedia perkhidmatan logistik serta pengeksport berpengalaman.

Antara topik yang bakal diketengahkan ialah kesiapsiagaan eksport, akses kepada pembiayaan, pendigitalan perniagaan dan perdagangan rentas sempadan, selain peluang kerjasama dengan syarikat multinasional (MNC) dan syarikat peringkat pertengahan (SPP).

Menurut MATRADE, program berkenaan turut memberi penekanan kepada pengetahuan mengenai eksport, celik kewangan serta pemahaman terhadap perkembangan ekonomi dan geopolitik yang semakin penting dalam menentukan daya saing perniagaan di pasaran global.

Selain perkongsian ilmu, Hari Eksport Perak 2026 turut menjadi platform untuk menghubungkan usahawan tempatan dengan peneraju utama dalam ekosistem eksport, di samping mengenal pasti perniagaan yang mempunyai potensi untuk menerima bimbingan serta tindakan susulan bagi membantu mereka berkembang ke peringkat lebih tinggi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.