
KUALA LUMPUR, 3 Oktober – Golongan muda perlu diberi peluang menikmati pekerjaan dengan pendapatan lebih munasabah bertujuan membolehkan kumpulan sasar membina kehidupan serta masa depan yang lebih terjamin.
- Pertumbuhan ekonomi mesti diterjemahkan kepada pekerjaan berkualiti yang meningkatkan kemahiran, pendapatan dan taraf hidup golongan muda.
- Kerangka MADANI perlu naikkan siling melalui sektor bernilai tinggi dan naikkan lantai melalui pekerjaan lebih baik serta perlindungan sosial.
- Golongan muda harus dijadikan kelebihan strategik negara untuk produktiviti, inovasi dan penciptaan perniagaan baharu.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pertumbuhan ekonomi perlu diterjemahkan kepada pekerjaan yang memberi ruang bagi golongan sasar meningkatkan kemahiran, pendapatan dan taraf hidup.
“Kerangka Ekonomi MADANI mengambil dua bentuk pendekatan iaitu yang pertama, menaikkan siling ekonomi melalui pelaburan dalam sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, kecerdasan buatan dan teknologi hijau.
“Kita juga perlu menaikkan lantai ekonomi melalui penyediaan pekerjaan yang lebih baik, pendapatan yang lebih tinggi serta perlindungan sosial,”katanya semasa berucap pada sesi Forum Ekonomi Belia 2026.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan kemasukan pelaburan ke negara ini juga perlu diukur berdasarkan manfaat yang diterima rakyat, khususnya golongan muda.
“Golongan muda perlu menjadi kelebihan strategik negara dengan diterjemahkan kepada produktiviti, inovasi, dan penciptaan perniagaan baharu.
“Kejayaan ekonomi pada akhirnya bukan hanya diukur melalui angka pertumbuhan, tetapi sejauh mana manfaatnya dapat dirasai semua rakyat,”katanya lagi.
Memasuki edisi ke-10 tahun ini, Forum Ekonomi Belia 2026 mengangkat tema “Mendepani Dekad Seterusnya:Memacu Sempadan Ekonomi Malaysia”, dengan memberi tumpuan kepada empat tonggak utama iaitu digital, hijau, bakat dan sosial.
Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.