
HULU TERENGGANU, 3 Oktober – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) bersama Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) melancar inisiatif Bulan Infak YAPEIM Peringkat Negeri Terengganu bagi membantu usahawan yang memerlukan di negeri tersebut.
- YDSM menyalurkan sumbangan dana korporat berjumlah RM170,000 untuk menjayakan inisiatif.
- Bantuan merangkumi meringankan beban usahawan, sokongan pendidikan dan bantuan bencana kepada golongan layak.
- Pemilihan penerima dilakukan bersama ICU Jabatan Perdana Menteri dan majlis agama; sasaran B40, asnaf dan golongan memerlukan.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Abdul Khudus Mohd Naaim berkata, YDSM turut menyalurkan sumbangan dana korporat berjumlah RM170,000 bagi menjayakan pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Menurutnya, bantuan itu bukan sahaja bertujuan meringankan beban usahawan untuk meneruskan perniagaan, malah turut merangkumi sokongan pendidikan dan bantuan bencana kepada golongan yang layak.
“Bagi pemilihan penerima, kita bekerjasama dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan juga majlis agama.
“Penerima terdiri daripada kelompok B40, asnaf dan golongan yang memerlukan bantuan serta tidak mendapat bantuan daripada sumber lain,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Peluncuran Bulan Infak YAPEIM Peringkat Negeri Terengganu, di sini.