Kerjasama serantau jamin bekalan tenaga stabil, mampu bayar

Kerjasama AZEC melengkapkan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR)

KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Seiring usaha mempercepat peralihan kepada tenaga rendah karbon, Malaysia menegaskan keperluan memperkukuh kerjasama serantau bertujuan menjamin bekalan tenaga yang stabil serta mampu bayar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama AZEC melengkapkan pelaksanaan NETR: kecekapan tenaga, tenaga boleh baharu, mobiliti hijau, infrastruktur dan pembiayaan peralihan.
  • Mesyuarat menumpukan daya tahan bekalan tenaga berikutan ketidaktentuan geopolitik dan risiko gangguan laluan bekalan melalui Selat Hormuz.
  • Perluasan kerjasama pada pengurangan metana, hidrogen, CCUS serta sokongan teknologi, pembiayaan dan pembangunan kapasiti dari rakan AZEC termasuk Jepun.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang menyampaikan pendirian Kerajaan Malaysia pada Mesyuarat Menteri Komuniti Pelepasan Sifar Bersih Karbon Asia (AZEC) Keempat di Manila, Filipina memaklumkan, kerjasama AZEC melengkapkan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) termasuk kecekapan tenaga, tenaga boleh baharu, mobiliti hijau, pembangunan infrastruktur serta pembiayaan peralihan.

“Kuala Lumpur juga melihat ruang kerjasama dalam pengurangan pelepasan metana, hidrogen dan teknologi pemerangkapan, penggunaan serta penyimpanan karbon (CCUS).

“Selain mengalu-alukan sokongan Jepun dan rakan AZEC dalam bidang teknologi, pembiayaan juga pembangunan kapasiti,”katanya.

Menerusi kenyataan, turut diberitahu dalam perbincangan berkenaan, Menteri menekankan peralihan tenaga yang adil perlu mengambil kira keperluan rakyat, kemampuan negara juga pertumbuhan ekonomi.

Mesyuarat disertai kesemua 11 negara anggota AZEC, iaitu masing-masing, Jepun, Australia, Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Mesyuarat dipengerusikan bersama Wakil Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, Takagi Kei serta Setiausaha Tenaga Filipina Sharon S Garin.

Tumpuan perbincangan terarah kepada daya tahan bekalan tenaga susulan ketidaktentuan geopolitik, termasuk risiko gangguan laluan bekalan melalui Selat Hormuz.

Para anggota AZEC turut membincangkan usaha meningkatkan kapasiti simpanan minyak secara sukarela, tertakluk kepada keadaan dan kemampuan masing-masing, serta kerjasama di bawah inisiatif POWERR Asia.

Menteri terdahulu mengadakan Mesyuarat Dua Hala bersama Timbalan Menteri Perubahan Iklim dan Tenaga, Jabatan Perubahan Iklim, Tenaga, Alam Sekitar dan Air, Australia, Josh Wilson yang memberi tumpuan kepada isu keterjaminan bekalan tenaga dan pembekalan gas antara kedua-dua negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.