Kutipan hasil GMT dijangka diperoleh selepas Jun

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 November – Kutipan hasil Cukai Minimum Global (GMT) dijangka hanya akan dapat diperoleh selepas bulan Jun 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • GMT dilaksanakan di Malaysia mulai 1 Januari 2025, selaras dengan komitmen di bawah Rangka Kerja OECD-BEPS.
  • Tarikh akhir pengemukaan penyata dan pembayaran cukai ialah 18 bulan selepas tamat tempoh penyata kewangan disatukan.
  • GMT memastikan syarikat multinasional besar membayar kadar cukai efektif minimum 15 peratus di negara tempat mereka beroperasi.
  • Belanjawan 2027 mengurangkan kadar cukai PMKS satu mata peratus, dengan penjimatan cukai dijangka sehingga RM6,000.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong menjelaskan kerajaan hanya akan memperoleh kutipan hasil berdasarkan tempoh pelaporan kewangan kumpulan
syarikat multinasional; tertakluk kepada pembayaran cukai tokokan atau top-up tax.

“Malaysia telah melaksanakan GMT berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025, selaras dengan komitmen di bawah Rangka Kerja OECD-BEPS. Pelaksanaan GMT dijangka memberi impak positif kepada kedudukan kewangan negara.

“Namun, kutipan hasil cukai di bawah GMT hanya akan diperoleh selepas Jun 2027, berdasarkan tempoh pelaporan kewangan kumpulan syarikat multinasional yang tertakluk kepada pembayaran cukai tokokan atau top-up tax. Ini memandangkan tarikh akhir pengemukaan penyata dan pembayaran cukai adalah 18 bulan selepas tamat tempoh penyata kewangan disatukan,” katanya di Parlimen.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang meminta kementerian menyatakan jumlah cukai minimum global
yang dikutip sejak ia dilaksanakan pada 2025 dan adakah cukai ke atas Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) akan dikurangkan kepada 15 peratus agar disama ratakan tanpa merugikan syarikat tempatan berbanding dengan syarikat antarabangsa.

Liew memaklumkan GMT merupakan inisiatif percukaian antarabangsa di bawah kerangka Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) serta negara anggota G20 bagi memastikan syarikat multinasional besar membayar kadar cukai efektif minimum 15 peratus di negara tempat mereka beroperasi.

Pelaksanaannya melibatkan kumpulan syarikat multinasional yang mencatatkan hasil pendapatan global sekurang-kurangnya 750 juta Euro setahun.

Mengulas mengenai cukai terhadap PMKS, kerajaan telah mengumumkan pengurangan kadar cukai pendapatan sebanyak satu mata peratus menerusi Belanjawan 2027.

“Bagi pendapatan bercukai RM150,000 yang pertama, kadar cukai dikurangkan daripada 15 peratus kepada 14 peratus. Manakala bagi pendapatan bercukai RM150,001 hingga RM600,000, kadar cukai dikurangkan daripada 17 peratus
kepada 16 peratus.

“Pengurangan kadar cukai ini dijangka memberikan penjimatan cukai sehingga RM6,000 kepada PMKS, sekali gus membantu mengurangkan kos menjalankan perniagaan dan meningkatkan aliran tunai syarikat,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.