PROTON atasi jualan keseluruhan 2025 dalam tempoh sembilan bulan

Proton e.MAS 7 PHEV / Foto Fail

KUALA LUMPUR, 3 Oktober – PROTON mengatasi jumlah keseluruhan jualan tahun lalu dalam tempoh hanya sembilan bulan apabila merekodkan 160,886 unit bagi Januari hingga September 2026, berbanding 157,976 unit sepanjang 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • PROTON mencatat jualan 19,465 unit bagi bulan September.
  • Jualan terkumpul melepasi 150,000 seawal bulan kesembilan; peningkatan 40.8 peratus berbanding tahun lalu.
  • Proton e.MAS menyerahkan 40,000 unit dalam 20 bulan; menyumbang 19.3% daripada jualan keseluruhan.
  • Eksport PROTON dan Geely dari kilang Tanjong Malim mencapai 7,370 unit bagi sembilan bulan, termasuk 1,311 pada September.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Abdul Rashid Musa berkata, bagi September sahaja, syarikat mencatat jualan sebanyak 19,465 unit.

Pencapaian itu turut menyaksikan PROTON melepasi paras jualan 150,000 unit seawal bulan kesembilan tahun ini, tempoh terpantas sejak 2002, dengan jualan terkumpul meningkat 40.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, PROTON turut merekodkan prestasi suku ketiga terbaik sejak 2009 dengan jualan 60,540 unit.

Proton Saga kekal sebagai penyumbang utama dengan 8,701 unit terjual pada September, menjadikan jualan terkumpul model itu kepada 68,237 unit.

Jumlah berkenaan bertambah 34.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Proton S70 pula merekodkan jualan terkumpul 20,709 unit, sekali gus mengatasi jumlah keseluruhan jualannya bagi 2025, manakala Proton X50 mencatat 20,163 unit sehingga September.

Dalam segmen kenderaan elektrifikasi, Proton e.MAS mencatat penyerahan 40,000 unit dalam tempoh 20 bulan sejak mula dijual.

Model e.MAS kini menyumbang 19.3 peratus daripada keseluruhan jualan PROTON.

Dalam pada itu, eksport PROTON dan Geely dari kilang Tanjong Malim mencecah 7,370 unit bagi sembilan bulan pertama tahun ini, termasuk 1,311 unit yang dieksport pada September.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.