
GERIK, 4 Oktober – Empat individu termasuk seorang kanak-kanak maut selepas kereta yang dinaiki terlibat kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di kilometer 38.5, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran kawasan Tasik Banding, Gerik.
- Kereta dipandu lelaki 19 tahun dipercayai hilang kawalan, memasuki laluan bertentangan dan melanggar bahagian sisi belakang kenderaan lain.
- Kereta itu kemudian hilang kawalan, merempuh bahagian hadapan lori dan diseret kira-kira tiga hingga tujuh meter.
- Seorang kanak-kanak mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Gerik; yang lain tidak mengalami kecederaan.
- Polis mengesan saksi serta mendapatkan rakaman CCTV dan dashcam untuk siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Maklumat mengenai kejadian diterima pihak polis pada pukul 1.30 tengah hari tadi.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin, sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 20 tahun bersama tiga penumpang berusia lingkungan 19 hingga 47 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Jeli menuju ke Gerik.
“Pada masa sama, sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun bersama seorang kelindan berusia 34 tahun turut bergerak dari arah sama. Manakala sebuah lagi kereta dipandu seorang lelaki berusia 19 tahun bersama empat penumpang iaitu seorang lelaki berusia 31 tahun dan wanita berusia 40 tahun serta dua kanak-kanak datang dari arah bertentangan iaitu dari Gerik menuju ke Jeli.
Beliau berkata siasatan awal mendapati, kereta dipandu lelaki berusia 19 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar bahagian sisi belakang sebuah lagi kenderaan.
“Kereta tersebut kemudian hilang kawalan dan merempuh bahagian hadapan lori mengakibatkannya diseret sejauh kira-kira tiga hingga tujuh meter.
“Empat mangsa yang berada dalam kereta tersebut disahkan meninggal dunia terdiri daripada dua lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak”, katanya menerusi kenyataan.
Datuk Mohd Alwi turut memaklumkan seorang lagi kanak-kanak yang turut berada dalam kenderaan tersebut mengalami kecederaan parah dan telah dibawa ke Hospital Gerik untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, kesemua individu lain yang terlibat dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Usaha mengesan saksi serta mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta rakaman kamera kenderaan (Dashcam) sedang dijalankan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.