
KUALA LUMPUR, 30 September – Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan penalti monetari pentadbiran (AMP) berjumlah RM40,400 terhadap tiga syarikat kerana gagal mematuhi keperluan berkaitan usaha wajar pelanggan (CDD) dan sekatan kewangan bersasar.
- Wawasan Ilham (M) Sdn Bhd dikenakan AMP RM22,000.
- SMJ Teratai Sdn Bhd dikenakan AMP RM6,900 kerana gagal laksanakan CDD terhadap seorang pelanggan bagi beberapa transaksi pertukaran wang.
- Ruhanmas Forex Sdn Bhd dikenakan AMP RM11,500 kerana gagal menyenggara mekanisme saringan sekatan dan tidak melaksanakan saringan pelanggan.
- BNM mengesan ketidakpatuhan melalui pemeriksaan penyeliaan dan semua syarikat telah membayar AMP sepenuhnya.
BNM dalam kenyataan memaklumkan Wawasan Ilham (M) Sdn Bhd (WISB) dikenakan penalti RM22,000, manakala SMJ Teratai Sdn Bhd dikenakan penalti RM6,900 kerana gagal mematuhi keperluan CDD.
Menurut BNM, ketidakpatuhan berkenaan dikesan susulan pemeriksaan penyeliaan yang dijalankan terhadap SMJ Teratai.
“BNM mendapati SMJ Teratai gagal melaksanakan CDD terhadap seorang pelanggan berhubung beberapa transaksi pertukaran wang.
“Kegagalan itu susulan kurangnya langkah berhati-hati secara munasabah dalam pelaksanaan keperluan CDD oleh kakitangannya,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ruhanmas Forex Sdn Bhd dikenakan AMP RM11,500 kerana gagal mematuhi keperluan sekatan kewangan bersasar.
BNM berkata ketidakpatuhan itu dikesan susulan pemeriksaan penyeliaan yang dijalankan di premis syarikat berkenaan.
“Semasa pemeriksaan dijalankan, Ruhanmas didapati gagal menyenggara mekanisme saringan sekatan dan tidak melaksanakan saringan itu terhadap pelanggannya.
“Ketidakpatuhan ini berpunca daripada kurangnya pemahaman Ruhanmas terhadap keperluan pengawalseliaan yang berkaitan,” jelasnya.
BNM memaklumkan kesemua syarikat terbabit telah membayar sepenuhnya AMP yang dikenakan.