
SEPANG, 30 September – Penyambungan semula perkhidmatan penerbangan Gulf Air antara Bahrain dan Kuala Lumpur dijangka membantu memenuhi peningkatan permintaan perjalanan udara antarabangsa, susulan trafik penumpang Malaysia yang diunjurkan mencecah 109.7 juta tahun ini.
- Penerbangan sulung GF158 guna Boeing 787-9 Dreamliner, menjadikan Gulf Air syarikat penerbangan ke-10 dari Timur Tengah beroperasi di KLIA.
- Perkhidmatan beroperasi tiga kali seminggu sepanjang tahun, menyediakan akses dari Bahrain dan Timur Tengah serta sambungan ke destinasi domestik.
- Hubungan udara kukuh menyokong Visit Malaysia 2026 dan persediaan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA serta Sukan Para ASEAN 2027.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibullah berkata, penyambungan perkhidmatan itu turut memperkukuh kedudukan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai hab penerbangan utama serantau, selain mengembalikan hubungan udara penting antara Malaysia dan Bahrain.
“Kembalinya Gulf Air menyediakan kapasiti tambahan yang tepat pada masanya bagi membantu memenuhi unjuran trafik ini, selain menampung permintaan yang semakin meningkat daripada pelancong antarabangsa,” katanya pada majlis sambutan penerbangan sulung Gulf Air dari Bahrain ke Kuala Lumpur di KLIA Terminal 1, di sini hari ini.
Penerbangan sulung GF158 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain menggunakan pesawat Boeing 787-9 Dreamliner, menjadikan Gulf Air syarikat penerbangan ke-10 dari Timur Tengah yang beroperasi di KLIA.
Perkhidmatan itu beroperasi tiga kali seminggu sepanjang tahun, selain menyediakan akses kepada pelancong dari Bahrain dan rantau Timur Tengah ke Kuala Lumpur serta sambungan ke destinasi domestik termasuk Langkawi, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
Datuk Hasbi berkata hubungan udara antarabangsa yang kukuh dengan pasaran utama seperti rantau Teluk penting dalam menyokong Visit Malaysia 2026, selain persediaan Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14 pada 2027.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, pembukaan perkhidmatan Gulf Air itu hadir pada masa yang sesuai menjelang Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 di Litar Antarabangsa Sepang dari 2 hingga 4 Oktober.
Beliau berkata kira-kira 200,000 penonton dijangka hadir sepanjang tiga hari perlumbaan, dengan jumlah kehadiran dijangka lebih tinggi pada hari terakhir.
Dalam pada itu, Izani turut menambah MAHB menjangkakan tiga hingga empat syarikat penerbangan baharu akan membuka operasi ke Kuala Lumpur sebelum akhir tahun ini, dengan perbincangan bersama syarikat berkenaan kini berada pada peringkat lanjut.